Tan Sri Annuar Musa.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak perlu memberi peringatan kepada rakyat supaya menghormati keputusan mahkamah dalam kes titah adendum melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini kerana, kata Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa, apa yang dipertikai rakyat bukannya keputusan mahkamah, sebaliknya kegagalan kerajaan dalam melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, apa yang dipertikai rakyat ketika ini adalah mengapa titah adendum itu tidak dilaksanakan dan disembunyikan sebelum ini.

Ujar beliau, sekiranya kerajaan berasakan titah adendum itu tidak mempunyai kuasa untuk dilaksanakan, kerajaan seharusnya menasihati Yang di-Pertuan Agong dan mengesahkan titah tersebut dalam Lembaga Pengampunan supaya ia dapat dilaksanakan.

“Kalau dalam kes PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kerajaan boleh laksanakan titah dengan mengadakan mesyuarat tanpa keanggotaan Lembaga (Pengampunan) yang lengkap, kenapa keutamaan yang sama tidak diberikan untuk melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong dalam kes Najib,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Menurut Annuar, apa yang jelas, Kerajaan Perpaduan hari ini serta pemimpin parti komponennya tidak mahu Najib diberikan haknya.

Dakwanya, kesemua mereka hanya berdolak-dalik, dan perkara itulah yang dipertikai rakyat.

“Soal mahkamah, itu pilihan akhir Najib dalam memperjuangkan haknya. Kalah di Mahkamah Tinggi masih ada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

“Yang nak “celebrate” kekalahan Najib itu hak kamu…tapi harus ingat bahawa ramai yang ketawa hari ini, mungkin menangis di hari esok.

“Dan esok itu tidak lama lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast