DAR ES SALAAM – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Tanzania (TCAA) mengesahkan lima orang terbunuh selepas sebuah helikopter terhempas di Kem Barafu di Gunung Kilimanjaro, gunung tertinggi di Afrika.
“Dengan penuh rasa dukacita, pihak berkuasa mengesahkan kesemua lima orang yang berada di dalam helikopter tersebut terkorban akibat kemalangan itu,” kata TCAA dalam satu kenyataan.
Pihak polis kemudian mengenal pasti mangsa sebagai dua pelancong dari Republik Czech, seorang juruterbang warga Zimbabwe, seorang doktor perubatan warga Tanzania, dan seorang pemandu gunung warga Tanzania.
Ketua Polis Wilayah Kilimanjaro, Simon Maigwa, berkata helikopter jenis Airbus H125 yang dimiliki oleh sebuah syarikat Tanzania itu terhempas pada petang Rabu ketika menjalankan misi menyelamat untuk memindahkan dua pelancong Czech berkenaan selepas mereka mengalami masalah kesihatan.
Siasatan rasmi telah dilancarkan bagi mengenal pasti keadaan dan punca kejadian, menurut TCAA.
Gunung Kilimanjaro yang terletak di utara Tanzania merupakan destinasi utama bagi pendaki dan pelancong dari seluruh dunia. – Agensi
















