DUN Perlis - GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Pilihan raya kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan tiga ADUN Pas Perlis yang dipecat keahlian parti mereka tidak perlu diadakan memandangkan DUN Perlis sudah melebihi tiga tahun.

Penganalisis undang-undang, Dr. Mohamed Hadi Abd. Hamid berkata, DUN Perlis pertama kali bersidang pada 19 Disember 2022 dengan tempoh hayatnya adalah selama lima tahun dan akan terbubar dengan sendirinya selepas 19 Disember 2027.

Menurutnya, kekosongan luar jangka perlu diisi dengan PRK jika baki tempoh hayat DUN masih ada lebih dari dua tahun.

Namun, ujarnya, memandangkan kenyataan akhbar Pas berkenaan pemecatan tiga ADUN mereka dibuat semalam (24 Disember 2025), maka baki tempoh hayat DUN tidak cukup dua tahun, tetapi hanya setahun 11 bulan dan 25 hari (tidak cukup lima hari).

“Oleh itu, berdasarkan peruntukan undang-undang, PRK untuk DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji tidak perlu diadakan kerana telah melebihi tiga tahun selepas Dewan Negeri Perlis pertama kali bersidang selepas PRU-15,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Dr. Mohamed Hadi Abd. Hamid.

Bagaimanapun, menurut Mohamed Hadi, perkara 55(5) Perlembagaan ada memberi satu pengecualian dan Pas mungkin akan cuba menggunakannya melalui Yang di-Pertua Dewan Negeri Perlis supaya PRK diadakan.

Jelasnya, Speaker Perlis akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya PRK untuk ketiga-tiga kerusi mesti diadakan kerana kekuatan dari segi bilangan parti yang membentuk majoriti semua ahli DUN telah terjejas oleh kekosongan itu.

Namun, ujar beliau, situasi itu agak kabur kerana ia biasanya merujuk kepada keadaan majoriti tipis.

Dalam keadaan di Perlis, tambahnya, kekuatan parti kerajaan tidak terjejas di sebalik pengguguran tiga ADUN Pas berkenaan memandangkan Pas masih mempunyai enam ADUN lain yang disokong lima ADUN daripada Bersatu.

“Melainkan PAS enggan bersama Bersatu membentuk kerajaan Perikataan Nasional (PN), tergamakkah Pas berbuat begitu?

“Tanpa alasan yang kukuh di manakah kewajaran untuk mengadakan PRK dalam keadaan Dewan Negeri Perlis sudah melepasi tempoh tiga tahun?” katanya.

Persoalan lain yang turut perlu diberi perhatian, tambah Mohamed Hadi, adalah mengenai legitimasi Pas untuk memberhentikan keahlian tiga wakil rakyatnya dalam keadaan mereka bertiga bertanding menggunakan lambang PN, bukannya Pas.

Berdasarkan ikutkan tafsiran rigid, jelasnya, meskipun terhenti sebagai wakil rakyat Pas, tiga ADUN berkenaan masih wakil rakyat PN dan hanya Pengerusi PN boleh memberhentikan mereka.

“Jalan yang tersedia ialah bagi Raja Perlis (Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail) melantik Menteri Besar baharu yang diyakini mungkin (likely) boleh mendapatkan kepercayaan majoriti ahli Dewan Negeri.

“Bukannya mesti confirm mendapat kepercayaan, mungkin saja pun dah cukup. PN teruskan sahaja memerintah Perlis seperti sediakala sampai PRU-16,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast