Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus

KUALA LUMPUR – Sebanyak 313,529 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya di ibu negara menerusi Op Patuh Undang – Undang (OP PUU) sejak 1 Oktober sehingga semalam, 25 Disember 2025.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kadar jumlah pengeluaran notis itu jelas menunjukkan sikap sambil lewa masyarakat terhadap kepatuhan lalu lintas.

Jelasnya, sepanjang tempoh advokasi dilaksanakan di beberapa kawasan panas di Kuala Lumpur dengan mencatatakan 76,000 notis peringatan telah dikeluarkan kepada pengguna bagi mendidik mereka agar mematuhi peraturan lalu lintas.

“Angka ini amat mengecewakan, selepas sebulan tempoh advokasi dilaksanakan namun apa yang berlaku jelas bahawa masyarakat masih melanggar dan tidak patuh kepada peraturan sekecil-kecil lalu lintas. Jumah saman ini direkodkan dalam tempoh kira-kira dua bulan lebih dan ia amat membimbangkan.

“Jika selepas kita dilaksanakan di seluruh Kuala Lumpur pematuhan pemakaian helmet ke masjid contohnya, ia juga akan memberi kesan amat buruk ini adalah gambaran indikator kepada operasi yang akan dilaksanakan selepas ini,” katanya.

Fadil Marsus (baju putih) pada Majlis Hi Tea Apresiasi Polis Kuala Lumpur bersama Media Tahun 2025 di Grand Millenium Hotel, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Hi Tea Apresiasi Polis Kuala Lumpur bersama Media Tahun 2025 di Grand Millenium Hotel, di sini hari ini.

Tambah Fadil, antara kesalahan paling tinggi direkodkan adalah halang lalu lintas, abai lampur isyarat, tamat tempoh lesen memandu, berhenti di petak kuning, dan pelbagai lagi.

“Statistik saman kenderaan pula, kereta merekodkan 246,519 saman, motosikal (56,327), van atau pacuan empat roda (3,790), teksi (2,661), lori (2,329), penjalan kaki (1,346) dan bas (557).

“Masalah utama di Kuala Lumpur ini adalah kesesakan lalu lintas dan sekiranya benda ini masih berlaku iaitu halangan lalu lintas maka ia akan terus menjadi penyumbang,” ujarnya.

Sehubungan itu, Fadil menasihati pengguna jalan raya untuk mematuhi undang-undang lalu lintas yang ditetapkan dan menyatakan bahawa OP PUU akan terus dilaksanakan tanpa henti di sekitar Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast