KULAI – Seorang isteri kepada penghantar Grab maut manakala suaminya cedera selepas terlibat kemalangan dengan tiga kenderaan di Kilometer 28, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulai , Asisten Komisioner Tan Seng Lee Raub berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai mendapat maklumat kejadian tersebut berlaku pukul 9.15 pagi.
“Kemalangan yang berlaku di arah Ayer Hitam itu melibatkan dua motosikal jenis Honda RS-X dan Yamaha Y15ZR serta kereta Toyota Camry.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sepasang suami isteri yang menaiki Honda RS-X dari arah Kulai menghala ke Senai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Akibat hilang kawalan, motosikal berkenaan melanggar sebuah Yamaha Y15ZR yang ditunggang lelaki berusia 41 tahun serta sebuah kereta Toyota Camry,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pembonceng Honda RS-X iaitu wanita berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seng Lee berkata, suami mangsa yang berusia 23 tahun dan penunggang Yamaha Y15ZR mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati pasangan suami isteri berkenaan sedang dalam perjalanan menghantar barangan pesanan dalam talian ketika kejadian berlaku.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ruslan Mohamed 013-306 3710 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette
















