BUTTERWORTH – Seorang juruukur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibu kandung serta adik angkatnya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Teluk Air Tawar pada 10 Disember lalu.
Tertuduh, Daniel Qayyum Kamalrolzlan, 23, hanya mengangguk faham sebaik dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Balqis Roslin
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama, Daniel didakwa membunuh Hayani binti Yaakob, 51, di No. 4, Lorong Nakhoda 5, Taman Teluk Air Tawar di sini, jam 9.45 pagi, pada 10 Disember lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kepala Batas, Inspektor Nor Idayu Yusoff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang ikat jamin memandangkan kesalahan yang dihadapi adalah jenayah bunuh.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan menetapkan 29 Januari depan sebagai tarikh serahan laporan bedah siasat.
Terdahulu, tertuduh yang berpakaian baju berwarna biru tua kelihatan tenang ketika tiba di mahkamah kira-kira jam 8.25 pagi dengan diiringi anggota polis.
ARTIKEL BERKAITAN
Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian jam 9.45 pagi pada 10 Disember lalu mayat kedua-dua mangsa ditemui rentung dalam keadaan bersebelahan pada jarak kira-kira satu meter di ruang tamu berhampiran pintu keluar utama rumah berkenaan.
Anak lelaki wanita tersebut yang juga suspek ditemui selamat di bahagian pintu dapur dan mengalami kecederaan selepas dihempap bumbung kediaman itu.
Polis sebelum ini mengklasifikasikan kematian dua mangsa terbabit sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan forensik kebakaran daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang. – MalaysiaGazette
















