Azam Baki

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pegawai penyiasat serta pasukan pendakwaannya yang bekerja tanpa mengenal penat lelah sejak awal siasatan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dimulakan pada Julai 2015 sehingga sampai pada penyelesaiannya.

Tan Sri Azam Baki berkata, penghargaan itu turut diberikan kepada Bank Negara Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia, juga rakan-rakan penguat kuasa luar negara.

Menurut beliau, kerjasama itu amat penting dalam proses yang kompleks dan mencabar untuk mendapatkan bukti rentas sempadan melalui mekanisme Bantuan Perundangan Bersama.

Antara agensi yang telah memberikan bantuan amat bernilai dari segi pengesanan, pengumpulan dan pengesahan bukti ialah Biro Penyiasatan Persekutuan dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, Pusat Penyelarasan Antirasuah Antarabangsa  United Kingdom, Pejabat Peguam Negara Switzerland, Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura, serta pihak berkuasa berkaitan dari Belanda dan Barbados.

“Penghargaan ini diberikan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan ketekunan luar biasa para pegawai penyiasat, khususnya dalam mendapatkan keterangan dan bukti sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

“Profesionalisme serta komitmen berterusan mereka dalam kerjasama rentas sempadan ini amat dihargai,” katanya dalam satu kenyataan susulan keputusan penghakiman kes 1MDB yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, siasatan kes 1MDB ini berdepan dengan pelbagai cabaran perundangan, teknikal dan bidang kuasa, namun pasukan penyiasat kekal beriltizam untuk memenuhi piawaian perundangan yang ketat bagi membolehkan kes ini dibawa dan dibicarakan di mahkamah.

“Bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia keputusan ini bukanlah satu detik untuk diraikan atau patut dibanggakan.

“Sebaliknya, ia mencerminkan pelaksanaan tanggungjawab dan amanah kepada negara selaras dengan mandat dan kepercayaan yang telah diberikan kepada kami.

“Peranan kami kekal untuk menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih, berpandukan sepenuhnya kepada fakta, bukti dan kepentingan awam,” ujar Azam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Aikkk… penghargaan kepada keluarga di Raja Arab Saudi yg SPRM pergi interview.. siap dapat layanan istimewa dgn jet pergi umrah tak nak sebut kaaa?

Comments are closed.