Pencapaian MYFutureJobs

KUALA LUMPUR – Sebanyak 622,283 penempatan pekerjaan berjaya direkodkan sejak tahun 2023 hingga 19 Disember lalu di bawah inisiatif MYFutureJobs, sekali gus mencerminkan keberkesanan dasar pasaran buruh aktif negara serta ketahanan ekonomi Malaysia dalam mendepani ketidaktentuan global.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, berkata pencapaian tersebut selari dengan penilaian positif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap prestasi serta daya tahan ekonomi Malaysia.

“Pengiktirafan IMF membuktikan keupayaan Malaysia untuk kekal berdaya tahan walaupun berdepan cabaran perdagangan global dan ketidaktentuan dasar antarabangsa, termasuk kesan tarif tinggi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.

“Perkembangan positif ini didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, pelaburan berterusan serta pertumbuhan guna tenaga yang sihat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dari perspektif Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), beliau menegaskan bahawa ketahanan ekonomi perlu diterjemahkan kepada hasil yang bermakna kepada rakyat, khususnya melalui penyediaan peluang pekerjaan berkualiti, gaji yang adil dan pengukuhan tenaga kerja nasional.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan

“Pertumbuhan ekonomi mesti seiring dengan penciptaan pekerjaan berkualiti. Fokus kami adalah memastikan pertumbuhan yang inklusif serta melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran relevan bagi menghadapi pasaran buruh yang semakin dinamik,” jelasnya.

Sehubungan itu, Ramanan berkata KESUMA menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan terus memperkukuh inisiatif MYFutureJobs, portal pekerjaan nasional yang berperanan sebagai platform utama kerajaan bagi padanan kerjaya, pemudah cara tenaga kerja dan penyelarasan pasaran buruh.

[GAMBAR FAIL] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof melakukan gimik perasmian Kad Pekerja MADANI dan Aplikasi Telefon Pintar MyFutureJobs ketika hadir ke Sambutan Hari Pekerja Kebangsaan 2025 di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 MEI 2025.
Beliau menambah, KESUMA akan terus mempertingkatkan keupayaan MYFutureJobs dengan memanfaatkan teknologi digital, memperkukuh kerjasama strategik bersama majikan serta menghasilkan pemprofilan pekerja yang lebih menyeluruh dan bersepadu.

Selain itu, KESUMA turut memperkukuh pasaran buruh negara melalui inisiatif strategik dan bersepadu bersama PERKESO, HRD Corp, Jabatan Tenaga Manusia dan TalentCorp.

Pendekatan ini merangkumi pemadanan kerja aktif, pembangunan kemahiran, perlindungan keselamatan sosial, pelaksanaan Dasar Gaji Progresif serta penawaran gaji yang lebih kompetitif, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara diterjemahkan secara langsung kepada peluang pekerjaan berkualiti, pendapatan mampan dan tenaga kerja yang berdaya saing.

Media sebelum ini melaporkan IMF menyifatkan Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketegangan perdagangan global dan ketidaktentuan dasar, disokong penggunaan serta pelaburan domestik yang kukuh, pertumbuhan pekerjaan dan pemulihan sektor teknologi.

Institusi kewangan antarabangsa itu turut menegaskan prestasi positif tersebut didorong pelaksanaan dasar ekonomi yang mantap serta pendekatan makroekonomi dan kewangan yang berhemat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast