KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas dan anak lelakinya maut selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di kawasan Sentul di sini, hari ini.
Komander Operasi Kanan Pegawai Kanan Bomba Kanan II Fathi Kameel Mohd Azri berkata, dua beranak itu ditemukan di dalam tandas rumah tersebut selepas menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS NG 999 berhubung kejadian itu pada jam 7.18 pagi tadi.
“Mangsa melibatkan seorang lelaki dewasa berusia 58 tahun dan seorang wanita warga emas berusia 82 tahun.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sentul dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Gombak Selatan mendapati lokasi kebakaran melibatkan sebuah rumah berkeluasan kira-kira 20 x 20 kaki persegi.
Jelasnya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 8.27 pagi dengan anggaran kemusnahan rumah akibat kebakaran adalah sekitar 40 peratus.
“Kerja-kerja pemadaman seterusnya berjaya diselesaikan sepenuhnya dan operasi overhaul turut dilaksanakan,” tambah beliau.
Tambah Fathi, punca kejadian masih dalam siasatan Unit Siasatan Kebakaran.-MalaysiaGazette
















