BUKIT MERTAJAM – Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Ahmadiah Al-Ijtimaiah Padang Lalang di sini, menerima sumbangan RM100,000 bagi menaik taraf kemudahan pembelajaran, sekali gus menyokong penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Sumbangan itu disalurkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong sempena lawatan beliau ke sekolah berusia 129 tahun berkenaan.
Jelas beliau, dana berkenaan akan digunakan sepenuhnya bagi perolehan lima unit papan pintar yang dijangka memberi manfaat kepada 168 pelajar sekolah tersebut.
“Saya berharap sumbangan itu dapat membantu pelajar mengikuti pembelajaran dengan lebih efisien, selain meringankan tugas guru melalui penggunaan teknologi terkini yang lebih interaktif.
“Selain itu, tambahan tiga unit papan pintar akan disumbangkan pada tahun hadapan bagi melengkapkan keperluan semua kelas,” katanya di sini.
Terdahulu Steven Sim mengadakan lawatan ke sekolah itu untuk menyerahkan replika cek sumbangan selain meluangkan masa untuk mendengar taklimat mengenai keperluan-keperluan lain bagi meningkatkan kualiti pendidikan.
Ketibaan Ahli Parlimen Bukit Mertajam tersebut telah disambut oleh Penolong Kanan Pendidikan SMA Al-Ahmadiah Al-Ijtimaiah, Zainol Abidin Ahmad, guru-guru dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Untuk rekod, Steven sebelum ini menyumbangkan RM60,000 pada 2024 bagi pelaksanaan projek Smart TV dan penyediaan peralatan pembelajaran untuk Tadika Islam (TADIS) di bawah sekolah sama. – MalaysiaGazette















