Salji tebal melanda beberapa kawasan utama di New York. foto Pictures of New York

NEW YORK – Kira-kira 1,500 penerbangan di Amerika Syarikat dibatalkan ketika tempoh kemuncak perjalanan cuti, susulan amaran ribut musim sejuk yang teruk dan ramalan salji lebat di beberapa kawasan Midwest dan timur laut negara ini.

Lebih 40 juta rakyat Amerika berada di bawah amaran ribut musim sejuk atau nasihat cuaca sehari selepas Krismas, manakala tambahan 30 juta lagi berada di bawah amaran banjir atau ribut di California.

Fenomena yang dikenali sebagai atmospheric river ini telah membawa hujan lebat.

New York, bandar terbesar di negara itu, bersiap sedia menghadapi salji setebal sehingga 10 inci (25 sentimeter) semalaman -jumlah tertinggi dalam tempoh empat tahun.

Suhu diramal menurun dan kekal sejuk hingga hujung minggu, apabila gelombang udara Artik dari Kanada melanda kawasan tersebut.

Sekurang-kurangnya 1,490 penerbangan telah dibatalkan dan lebih 5,900 penerbangan mengalami kelewatan setakat jam 4.00 petang waktu Timur AS (2100 GMT) pada Jumaat, menurut laman web FlightAware.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) meramalkan salji di kawasan Tasik Besar bahagian atas akan bergerak ke arah timur laut Amerika Syarikat.

“Keadaan perjalanan yang sukar sedang berterusan di kawasan ini dan mereka yang pulang daripada cuti dinasihatkan supaya berhati-hati sekiranya perlu berada di jalan raya,” kata NWS dalam satu amaran.

Datuk Bandar New York, Eric Adams memaklumkan amaran ribut musim sejuk sedang berkuat kuasa dan pasukan bandar telah dikerahkan untuk membersihkan salji di jalan raya.

Lapangan terbang di New York dan Chicago berada hampir di kedudukan teratas dalam senarai “Misery Map” FlightAware, yang menjejaki penyebaran kelewatan dan pembatalan penerbangan.

Tiga lapangan terbang utama di kawasan New York menyumbang kepada 850 pembatalan penerbangan, menurut laman web itu.

Amaran cuaca turut dikeluarkan bagi negeri Pennsylvania, New Jersey dan Connecticut, serta beberapa kawasan di Michigan, Massachusetts dan Rhode Island.

Sementara itu, California di pantai barat AS mengalami hujan lebat sepanjang minggu ini, namun NWS meramalkan keadaan cuaca akan mula kering menjelang hujung minggu.

Cuaca buruk dan banjir yang berlaku menyebabkan Lapangan Terbang Santa Barbara, di barat laut Los Angeles, ditutup sementara. Namun pada pagi Jumaat, selepas kru bekerja sepanjang malam membersihkan air dari landasan, pihak berkuasa mengumumkan lapangan terbang itu telah dibuka semula. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast