KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal mencipta satu lagi detik bersejarah dalam industri hiburan tanah air menerusi persembahan mega Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Januari depan.
Konsert istimewa itu bukan sekadar sebuah persembahan pentas sebaliknya merupakan simbol penghargaan terhadap legasi seni, dedikasi serta sokongan padu daripada para peminat, pasukan industri dan keseluruhan ekosistem kreatif yang telah bersama membina dan menyokong perjalanan seni Siti Nurhaliza sepanjang tiga dekad.
Setelah membuktikan kejayaan menerusi beberapa siri konsert berskala besar sebelum ini, persembahan itu akan menampilkan rangkaian lagu-lagu ikonik merentasi era, susunan muzik segar, kolaborasi istimewa bersama barisan artis undangan, serta produksi pentas mega yang mencerminkan kematangan artistik dan penghargaan Siti Nurhaliza terhadap para peminat setianya.
Penghibur berusia 46 tahun itu berkata, persiapan konsert telah dirancang dengan teliti dan menyeluruh bagi memastikan pengalaman konsert yang bermutu tinggi, berkelas serta sarat dengan nilai seni.
“Setiap aspek persembahan daripada pemilihan lagu, rekaan pentas, pencahayaan, visual, busana hingga susunan muzik, diberi perhatian khusus bagi memastikan konsert ini tampil sebagai sebuah persembahan ikonik yang akan dikenang dalam sejarah industri hiburan negara.
“Konsert ini merupakan tanda penghargaan buat semua pihak yang telah bersama-sama menyokong perjalanan seninya sepanjang 30 tahun,” kata ibu beranak dua itu.
Siti Nurhaliza turut meluahkan rasa syukur kerana berpeluang bekerjasama dengan ramai penerbit, pencipta lagu dan penulis lirik yang menjadi sebahagian penting dalam pembinaan legasi seninya.
“Konsert ini adalah hadiah dari hati saya buat para peminat, rakan industri serta semua yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan seni saya selama 30 tahun.
“Legacy 30 Siti Nurhaliza bukan tentang saya semata-mata tetapi tentang kita semua yang bersama-sama membina, menghargai dan mempertahankan seni serta budaya. Saya berharap konsert ini akan menjadi kenangan indah dan inspirasi kepada generasi seni akan datang,” ujar Siti.

Konsert yang diadakan sehari sebelum ulang tahun kelahiran Siti yang ke-47 ini menampilkan Aubrey Suwito selaku pengarah muzik bersama barisan pemuzik profesional.
Persembahan ini turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Istana Budaya, dengan penampilan Orkestra Simfoni Kebangsaan, Orkestra Tradisional Malaysia dan Artistana Istana Budaya.
Sentuhan koreografi oleh Naim Syahrazad bersama penari-penari Juxt Studio turut melengkapkan keindahan persembahan konsert ini.
Konsert ini dibawakan khas oleh CUCKOO, dengan Affin Bank sebagai penaja utama, serta sokongan tajaan daripada ZEEKR, HABIB, AirAsia dan SOGO.
Antara rakan penaja lain yang turut bekerjasama ialah Ombak Exclusive, Zai Sri Gemilang, Events Medical Support dan Hyatt Place.
Istimewanya, Siti Nurhaliza turut menampilkan Cakra Khan, Noh Salleh, Hafiz Suip dan Umairah sebagai artis undangan yang bakal menyerikan lagi persembahan beliau.
Tiket konsert telah mula dijual sejak 1 Oktober lalu menerusi www.ticket2u.com.my, dan dijangka sekitar 62,000 penonton akan memenuhi stadium ikonik itu.
Sementara itu, SN Legacy Sdn. Bhd. dan Radar Rezki (M) Sdn. Bhd., selaku penganjur bersama menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penaja utama, penaja sokongan, rakan strategik, artis undangan serta seluruh pasukan produksi, kreatif dan teknikal yang berganding bahu menjayakan konsert ini.
Penganjur turut merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures atas sokongan berterusan kerajaan dalam memacu pembangunan industri kreatif negara menerusi program Concerts and Events in Malaysia Incentive (CEMI).
“Sokongan ini menjadi pemangkin penting dalam merealisasikan penganjuran konsert berskala besar dan berimpak tinggi seperti Legacy 30 Siti Nurhaliza,” katanya. – MalaysiaGazette

















