BANGI – Arena e-Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBoR) bagi kategori Most E-sports Arena Facility in a University.
Arena ini menempatkan sebanyak 40 unit PC dan turut dilengkapi dengan konfigurasi permainan battle gaming PC 5 vs 5, empat unit motion racing simulator, tiga stesen dart, sistem jaringan berkelajuan tinggi serta ruang khas untuk pertandingan dan tujuan live streaming.
Selain itu, Arena e-Sukan UKM turut menyediakan sudut konsol dan virtual reality yang menempatkan lapan stesen konsol PlayStation 5 (PS5) serta stesen permainan virtual reality bagi memberi pengalaman permainan yang lebih imersif kepada pengguna.
Bagi keselesaan pelajar, fasiliti ini turut dilengkapi dengan ruang sosial dan santai yang merangkumi ruang menunggu, paparan skrin besar untuk tontonan kejohanan e-sukan, sebuah arena golf simulator, empat buah meja snuker serta kiosk makan dan minum.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman berkata, pengiktirafan ini mejadi wadah pemerkasaan bakat e-sukan dalam kalangan warga universiti.
“Arena ini dilihat sebagai satu platform bagi mahasiswa dan warga UKM untuk mengembangkan minat serta mengasah bakat dalam e-sukan.
“E-sukan juga merupakan aktiviti yang semakin mendapat tempat dalam generasi muda dan kini dipertandingkan di peringkat antarabangsa. Jadi, dengan kewujudan arena ini, saya harap ia dapat jadi pemangkin untuk UKM melahirkan lebih
ramai atlet e-sukan,” katanya.
Tambah beliau, penglibatan pelajar dalam e-sukan juga memberi manfaat dari sudut kesihatan mental.
Melalui aktiviti ini, pelajar dapat melepaskan tekanan dan mengurangkan stres daripada sesi pembelajaran.
Arena sukan yang terletak di Aras 1, Bangunan Pusanika ini menjadi daya tarikan yang selamat dan kondusif untuk kemudahan semua pelajar, sekali gus memberi keyakinan kepada ibu bapa bahawa anak-anak mereka berada di tempat
yang selamat,” katanya.
Menurut Dr. Norinsan, Arena e-Sukan UKM merupakan yang pertama seumpamanya dalam kalangan universiti awam.
Jelasnya, arena ini juga aktif menganjurkan kejohanan dan program latihan melibatkan pelbagai agensi di Malaysia dengan sokongan Majlis Perbandaran Kajang. – MalaysiaGazette
















