KUALA LUMPUR – Pelakon, Datuk Remy Ishak menerima rawatan di sebuah pusat perubatan selepas bahagian dadanya tiba-tiba berasa tidak selesa ketika bersenam hari ini untuk pemantauan selanjutnya.
Remy atau Mohammad Zalimei Ishak, 43, berkata, dia berdepan insiden di mana dadanya secara tiba-tiba seperti terkena renjatan elektrik sebanyak tiga kali.
“Masa tengah latihan super saturday tadi tiba-tiba macam ada elektrik shot dekat kawasan dada, tiga kali,” katanya di Instastory miliknya di sini sambil menunjukkan suasana di hospital di mana tangannya dimasukkan tiub air.
Remy mengakui walaupun mengakui panik pada mulanya, namun dia berjaya menenangkan diri dengan mengawal pernafasan sebelum meneruskan dan menghabiskan sesi senaman tersebut.
Bagaimanapun kata bapa seorang anak itu, dia mengambil keputusan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital demi keselamatan dirinya.
“Panik sekejap tapi berjaya kawal nafas dan habiskan sesi workout hari ini. Pergi hospital buat check up,” katanya.
Dalam nada berseloroh, Remy berkata doktor yang merawatnya sempat bergurau mengatakan dia seolah-olah mendapat ‘kuasa baharu’.
Namun begitu, dia turut dinasihatkan agar mendapatkan rehat yang mencukupi.
“Doktor kata saya dapat kuasa baru, tenaga itu tengah mengalir dalam badan. Cuma satu dia pesan kena banyak rehat,” kongsinya. – MalaysiaGazette
















