PEKAN – Seorang juruteknik Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 10 Jalan Chini–Salong, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa, Norzaidi Zakaria, 40, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Chini.
Ketua Polis Daerah Pekan berkata, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Saga dan sebuah Proton Exora yang dinaiki tiga individu.
“Siasatan awal mendapati Proton Saga dipandu mangsa sedang bergerak lurus dari arah Kuantan menghala ke Chini.
“Pada masa sama, Proton Exora dari arah bertentangan dipercayai memotong kenderaan lain sebelum memasuki laluan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pelanggaran berlaku di laluan bertentangan menyebabkan kereta mangsa rosak teruk, manakala MPV mengalami kerosakan di bahagian hadapan kanan.
Akibat kemalangan itu, mangsa yang berkhidmat di PAIP Maran iyu dibawa ke Klinik Kesihatan Chini namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Tiga lagi mangsa dalam MPV berusia antara 51 hingga 67 tahun mengalami kecederaan dan dirujuk ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan cuai.
Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak memotong di kawasan yang berisiko bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – MalaysiaGazette
















