Oleh: Dr. Mohammed Rasheedan Ellin
DALAM era perkembangan teknologi maklumat yang begitu pesat, masyarakat global sedang menyaksikan perubahan besar dalam kaedah bagaimana identiti gender, orientasi seksual dan gaya hidup dibincangkan serta disebarkan. Di Malaysia, perbincangan mengenai isu berkaitan LGBTQ sering dikaitkan dengan nilai agama, budaya serta moral masyarakat.
Kebimbangan tetap wujud apabila isu ini mula mempengaruhi pembentukan identiti dan tingkah laku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Golongan ini berada pada fasa kritikal perkembangan psikoseksual, dan sebarang kekeliruan yang tidak dibimbing dengan baik boleh membawa implikasi kepada kesihatan mental, sosial dan juga kesihatan awam.
Kebimbangan ini bukan sekadar bersifat retorik atau berdasarkan persepsi semata-mata. Data kesihatan awam menunjukkan realiti yang perlu diberi perhatian. Menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tahun 2024, sebanyak 3,185 kes baharu HIV dilaporkan.
Daripada angka tersebut, 90% melibatkan lelaki, dan majoritinya terdiri daripada belia berumur 20 hingga 39 tahun, iaitu sekitar 75% daripada keseluruhan kes baharu. Lebih membimbangkan, 96% jangkitan baharu berlaku melalui hubungan seksual, dan daripada jumlah ini, 64% adalah melalui hubungan homoseksual atau biseksual, manakala 32% melalui hubungan heteroseksual.
Perubahan trend ini menunjukkan penularan HIV kini didominasi oleh hubungan seksual berisiko terutamanya homoseksualiti, berbanding perkongsian jarum yang pernah menjadi punca utama satu ketika dahulu. Data ini mengesahkan pendidikan seksualiti dan psikoseksual yang tepat, berasaskan biologi dan nilai moral, sangat penting untuk membimbing golongan muda dalam meneguhkan identiti dan tingkah laku.
Dalam konteks pendidikan, sekolah menjadi institusi sosial kedua terpenting selepas keluarga. Ibu bapa merupakan pendidik pertama yang membentuk asas moral dan spiritual anak-anak, namun sekolah berfungsi mengekalkan, memperkukuh dan menyempurnakan pelbagai nilai tersebut.
Murid bukan sahaja belajar melalui mata pelajaran formal, tetapi juga membentuk jati diri melalui interaksi sosial, hubungan dengan guru, dan suasana persekitaran sekolah. Dalam hal ini, sekolah memainkan peranan besar dalam memastikan pelajar memahami perkembangan diri berdasarkan fitrah biologi, serta mampu membezakan antara maklumat yang sahih dan pengaruh yang mengelirukan daripada media.
Sebahagian besar cabaran bermula daripada penyebaran kandungan berkaitan identiti gender dan LGBTQ di media sosial. Kanak-kanak sekolah rendah dan remaja sekolah menengah sering terdedah kepada kandungan ini melalui platform seperti YouTube, TikTok, Facebook, animasi kartun, selebriti dan pempengaruh yang mempromosikan idea tertentu sebagai gaya
hidup moden atau tanda “kebebasan diri”. Pada usia yang masih membentuk konsep kendiri, mereka mudah menerima sesuatu yang kelihatan menarik atau normal di media, tanpa menilai implikasinya.
Lebih memburukkan keadaan, algoritma media sosial mempercepat dan memperluas penyebaran kandungan yang dianggap menarik perhatian, menyebabkan pelajar semakin terdedah kepada idea yang mungkin tidak selari dengan nilai masyarakat Malaysia. Di sinilah letaknya kedudukan guru sebagai “gatekeeper” atau benteng pengukuh nilai.
Guru bukan hanya menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga menjadi model peranan dan penjaga moral dalam komuniti sekolah. Namun, guru juga berdepan pelbagai cabaran. Ramai guru mengakui mereka kurang didedahkan kepada ilmu berkaitan psikoseksual, identiti gender berdasarkan biologi, dan cara membimbing murid yang keliru.
Kekurangan latihan formal menyebabkan guru kadangkala tidak yakin untuk menjawab soalan murid atau menangani situasi yang berkaitan dengan isu gender dan seksualiti. Dalam masa yang sama, sesetengah program luar atau NGO yang dijemput ke sekolah membawa pendekatan yang terlalu inklusif atau terbuka, yang mungkin tersasar dari garis panduan kurikulum serta sensitiviti agama dan budaya tempatan. Guru, tanpa pengetahuan mendalam, mungkin sukar menapis maklumat yang sesuai dan tidak sesuai untuk murid.
Kekangan kurikulum turut memberi kesan terhadap keberkesanan pendidikan psikoseksual di sekolah. Walaupun Pendidikan Jasmani dan Kesihatan menyentuh aspek asas perkembangan seksual, modul khas yang membantu guru memahami isu kontemporari seperti ideologi gender atau normalisasi gaya hidup tertentu masih belum diwujudkan secara sistematik.
Guru memerlukan garis panduan yang lebih komprehensif untuk membantu pelajar memahami identiti diri berasaskan biologi, batasan moral, serta implikasi kesihatan dan sosial tingkah laku berisiko. Tanpa kurikulum yang kuat dan jelas, guru terus bergelut dalam menyediakan penjelasan yang tepat walaupun mereka sedar bahawa pelajar semakin banyak terdedah kepada maklumat bercampur-aduk dari media.
Walaupun berdepan cabaran tersebut, peranan guru tetap signifikan. Guru perlu memiliki jati diri kukuh, memahami asas ilmu biologi berkaitan seks dan gender, serta peka kepada ancaman liberalisme gender yang sering disaluti dengan konsep hak asasi manusia. Identiti gender dan orientasi seksual dalam konteks pendidikan memerlukan panduan yang selari dengan realiti biologi, prinsip moral dan tatacara agama masyarakat Malaysia. Jika guru tidak mahir dalam sesuatu aspek, mereka wajar menjemput agamawan, pakar psikologi perkembangan, pakar kesihatan reproduktif atau kaunselor yang mempunyai kepakaran khusus.
Pendekatan antara disiplin ini memberi peluang kepada murid untuk memahami isu identiti, seksualiti dan hubungan manusia melalui perspektif yang sahih, seimbang dan bertanggungjawab. Hubungan tiga pihak — sekolah, guru dan ibu bapa — juga perlu diperkukuh. Pendidikan identiti dan gender tidak boleh dilaksanakan oleh sekolah sahaja. Ibu bapa perlu diberi
pemahaman yang tepat agar mereka tidak keliru dengan maklumat berbaur ideologi yang tersebar dalam media sosial. Kerjasama erat melalui dialog, bengkel atau sesi taklimat membantu memastikan mesej yang sampai kepada murid adalah jelas, konsisten dan tidak bercanggah antara sekolah dan rumah.
Pentadbir akademik turut memainkan peranan strategik. Mereka harus menyaring setiap NGO, penceramah atau individu luar yang dijemput ke sekolah untuk menjalankan program pendidikan kesihatan atau seksualiti. Dengan adanya penceramah yang membawa pendekatan liberal atau terbuka tanpa mengambil kira sensitiviti tempatan, pihak sekolah perlu lebih teliti supaya program tidak tersasar daripada nilai dan objektif pendidikan negara. Pentadbir harus memastikan setiap aktiviti mematuhi garis panduan KPM, sensitiviti agama dan budaya, serta tidak menimbulkan kekeliruan kepada murid.
Sebagai kesimpulan, isu berkaitan LGBTQ dan perkembangan identiti gender dalam kalangan pelajar perlu ditangani melalui pendekatan berhemah, berfakta dan menyeluruh. Statistik HIV yang menunjukkan peningkatan ketara dalam kalangan lelaki muda melalui hubungan homoseksual dan biseksual membuktikan isu ini bukan sekadar perdebatan sosial,
tetapi mempunyai implikasi kesihatan awam.
Oleh itu, pendidikan psikoseksual yang tepat, jelas dan berlandaskan nilai tempatan perlu diperkasa. Dengan kerjasama erat antara guru, pentadbir dan ibu bapa, sekolah dapat terus menjadi tempat mendidik dan membimbing generasi muda agar mereka membentuk jati diri yang kukuh, matang dan berlandaskan fitrah biologi, moral dan budaya masyarakat Malaysia.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Universiti Malaysia Sarawak
















