KUALA LUMPUR – Anak sulung Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohammad Nizar tidak menyangka ayahandanya dijatuhi hukuman yang amat berat susulan kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Katanya, hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion terhadap bekas Perdana Menteri itu adalah sangat berat dan di luar jangkaan mereka sekeluarga.
“Satu (keputusan) yang amat mengecewakan sedangkan ayahanda Najib banyak berjasa kepada Malaysia. Saya fikir, jasa-jasa beliau perlu juga diambil kira.
“Lebih-lebih lagi dalang utama Jhow Low masih tidak dijumpai manakala (individu) yang bersubahat dan bersengkokol dengan Jhow Low pula dijadikan saksi.
“Tuan-tuan dan puan-puan fikirlah sendiri. Ini adalah dilema dan ujian yang dihadapi ayahanda Najib Razak,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebook, malam ini.
Ketua Pemuda UMNO Pekan itu menambah, beliau dan adik-beradiknya yang lain tidak akan berhenti membela bapa mereka sehingga menemui keadilan.
Nazir juga mendoakan agar bapanya diberikan ketabahan manakala mereka sekeluarga diberi kekuatan oleh Allah swt untuk menghadapi ujian besar ini.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan doa yang dititip oleh penyokong-penyokong Najib dan seluruh rakyat Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/12/26/najib-dipenjara-15-tahun-denda-berjumlah-rm11-38-bilion/
Semalam, Mahkamah Tinggi Putrajaya menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Datuk Seri Najib Razak bagi empat pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk mendapatkan RM2.3 dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah turut mengenakan denda berjumlah RM11.38 bilion bagi kesemua empat pertuduhan tersebut.
Jika gagal membayar denda, mahkamah memerintahkan bekas perdana menteri itu menjalani hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.
Beliau turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun masing-masing tanpa denda bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah dana yang sama.
Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara 15 tahun berkuatkuasa serentak selepas bekas Perdana Menteri menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International.- MalaysiaGazette
















