Kemboja dan Thailand bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta yang berkuat kuasa pada tengah hari waktu tempatan.

GENEVA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berharap gencatan senjata segera yang dipersetujui oleh Thailand dan Kemboja hari ini akan akhirnya membawa kepada pembinaan keyakinan dan keamanan antara kedua-dua negara.

Ketua hak asasi manusia PBB, Volker Turk berkata, beliau sangat mengalu-alukan berita gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja disambung semula.

Beliau juga berharap langkah itu akan membuka jalan kepada pembinaan keyakinan serta keamanan.

Menerusi kenyataan pejabatnya di platform X, Turk mahu komuniti dan migran yang terjejas akibat konflik itu diberikan segala bantuan yang diperlukan untuk pulang ke rumah dengan selamat.

Sekurang-kurangnya 47 orang terbunuh dan lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal dalam tempoh tiga minggu pertempuran di sempadan yang melibatkan penggunaan artileri, kereta kebal, dron dan jet, menurut angka rasmi.

Sementara itu, Kesatuan Eropah (EU) berkata ia mengalu-alukan perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja pada Sabtu, dan menggesa “kedua-dua pihak melaksanakannya dengan niat baik”.

“Terima kasih kepada ASEAN kerana memainkan peranan positif dalam mencapai keputusan ini,” kata jurucakap hal ehwal luar EU, Anouar El Anouni, merujuk kepada Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), yang dianggotai Kemboja dan Thailand.

“EU bersedia untuk memberikan sebarang sokongan yang diperlukan,” katanya di X. – AFP

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast