Rafizi Ramli.
KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) diramal berada dalam situasi tidak selamat sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Perlis diadakan dalam masa terdekat berikutan kemelut politik yang melanda negeri itu.

Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, ini kerana kerusi tunggal yang dimenangi PH di Perlis iaitu Indera Kayangan kini berada dalam zon bahaya.

Jelas beliau, ia berdasarkan analisis keputusan PRN Sabah pada 29 November lalu biarpun kawasan tersebut mempunyai komposisi 60 peratus Melayu dan 40 peratus bukan Melayu.

“Sebenarnya ketidakpuasan hati lagi besar di Semenanjung berbanding di Sabah.

“Ini bermakna Indera Kayangan tidak lagi selamat,” katanya menerusi audio siar Yang Berhenti Menteri di sini, malam tadi.

Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Tuan Abdul Hadi Awang kecewa dengan krisis berlaku di Perlis, terutama dengan tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu yang menarik sokongan terhadap bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, berkata semangat setiakawan politik sepatutnya dizahirkan, bukannya mengkhianati kerjasama dibentuk di bawah payung PN

Katanya, walaupun Pas tidak menghukum Bersatu sebagai sebuah parti secara keseluruhan, tindakan lima ADUN terbabit jelas bercanggah semangat kebersamaan yang menjadi asas kerjasama politik.

Khalus lalu, Mohd, shukri yang ADUN Sanglang mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan.

Terdahulu, beliau mempersembahkan surat letak jawatan sebagai Menteri Besar kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Mohd Shukri adalah Menteri Besar Perlis ke-11, dilantik pada 22 November 2022 dan ahli politik pertama dari gabungan Perikatan Nasional (PN) yang berjaya mengambil alih pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN) selama 65 tahun di Perlis.

Mengenai PRU pula, Rafizi berkata UMNI dijangka menjadi penerima manfaat terbesar jika PN terus bergolak dan ‘berpecah belah  memandangkan hampir 40 peratus pengundi gabungan Pas dan Bersatu adalah bekas pengundi parti itu.

“Kalau Anwar Ibrahim (Pengerusi PH) masih belum ada strategi untuk mengukuhkan sokongan di bandar, pengundi bukan Melayu dan pengundi PH yang asal, pengundi PN tidak akan ‘swing’ kepada PH walaupun gabungan itu bergelora begini.

“UMNO yang menjadi penerima manfaat utama jika parti itu berhati-hati,” katanya sambil menambah kebangkitan semula Umno bergantung kepada cara parti itu mengemudi isu-isu sensitif termasuk kes mahkamah bekas Perdana Menteri Najib Razak,” katanya. –  MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast