Jasa Abbie terpahat dalam sejarah Gunung Kinabalu sebagai porter paling lama berkhidmat.

KUALA LUMPUR – Sabah kehilangan seorang wira yang tidak didendang apabila Abbie Intang yang digelar Badang Kinabalu meninggal dunia pukul 4.39 pagi tadi pada usia 68 tahun.

Berita sedih itu diumumkan anaknya, Eppa Abbie di Facebook di sini hari ini.

“Dengan penuh rasa dukacita dan hati yang amat sedih, saya ingin memaklumkan bahawa bapa tercinta kami telah kembali ke rahmatullah pada 27/12/2025 pada jam 4.39 pagi.
“Kami sekeluarga memohon jasa baik semua agar dapat mendoakan keampunan dan rahmat buat arwah, semoga Allah SWT mengampuni segala dosa-dosanya, menerima segala amal kebaikannya, melapangkan kuburnya serta menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
“Segala doa dan sokongan amat kami hargai. Al-Fatihah,” tulisnya.

Sementara itu, beberapa hantaran di media sosial menyifatkan Abbie yang bukannya orang politik atau selebriti namun jasanya terpahat dalam sejarah Gunung Kinabalu sebagai porter paling lama berkhidmat.

Allahyarham yang berasal dari Kampung Pinosuk, Kundasang pernah menjadi tulang belakang operasi pendakian gunung tertinggi di rantau ini.

Abbie mula menjadi sebutan serta dikenali ramai selepas gambar mengangkat tangki air biru seberat 50 kilogram untuk dihantar ke Laban Rata pada 2005 tular.

Ketika itu, Abbie berusia 48 tahun turut mendapat gelaran M Nasir Kinabalu di kalangan rakan porter gunung itu kerana wajahnya mirip komposer terkenal, Datuk M Nasir.

Sepanjang perkhidmatannya, setiap hari Abbie mendaki dari Timpohon Gate ke Laban Rata sejauh kira-kira enam kilometer dengan mengambil masa hampir enam jam sambil memikul tong air 600 liter seberat 33 kilogram.

Tidak terhenti setakat itu, pada hari sama Allahyarham kembali mendaki membawa dua tong gas seberat 64 kilogram melalui laluan sama.

Beban paling berat pernah dipikulnya ialah bateri kereta seberat 80 kilogram.

Kerana kekuatan luar biasa serta ketabahannya, Abbie digelar Badang Kinabalu, simbol keringat, pengorbanan dan kecekalan anak Sabah.

Hari ini, beliau pergi selama-lamanya, jasanya akan terus hidup dalam setiap langkah pendaki pernah menikmati air, makanan dan keselamatan di puncak Gunung Kinabalu. – MalaysiaGazette

Foto FB Eppa Abbie.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast