Isham Jalil.

KUALA LUMPUR – Kebenaran dan keadilan sebenar-benarnya untuk kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hanya dapat ditutup dan memberi pengajaran pada masa depan jika dalang utama, Jho Low dapat dibawa dan didakwa di negara ini.

Isham Jalil, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, jika tidak, kes yang pada masa ini hanya menghukum Datuk Seri Najib Razak seorang akan tetap dilihat berbaur politik dan dendam.

Ia kerana, penjenayah sebenar tidak ditangkap, namun Najib disumbat dalam penjara selama lebih 20 tahun.

Menurut Isham, kes 1MDB adalah besar dan melibatkan ramai pelaku dan penjenyah.

“Namun yang dituduh, didakwa, disalahkan dan dihukum adalah DS Najib seorang. Penjenayah-penjenayah dan pelaku-pelaku utama yang terlibat dalam kes ini ramai terlepas begitu sahaja.

“Dari dulu saya suruh kerajaan bawa balik Jho Low iaitu dalang utama kes ini, namun sehingga sekarang kerajaan beri macam-macam alasan. Jika kita mahu cari keadilan dan kebenaran yang sebenar-benarnya, kita perlu bawa balik Jho Lo dan dakwa dia di mahkamah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Isham turut menitipkan harapan dan doa agar Najib terus cekap dan percaya keputusan semalam bukan suatu pengakhiran untuk bekas perdana Menteri itu namun adalah suatu permulaan untuk beliau bertindak setelah mengetahui siapa kawan dan siapa lawan yang sebenar.

“Saya bersama-sama DS Najib semasa beliau jatuh di peringkat paling bawah dulu apabila kita tewas pada PRU-14. DS Najib ini apabila dia ditolak terlentang ke lantai dia akan bangun dan dia akan lawan. Sebab itu selepas kita kalah pada tahun 2018 dulu dia lawan dan dia bangkit sehingga jadi fenomena Bossku dan kita menang banyak pilihanraya.

“Sehinggalah ada orang masukkan dia ke dalam penjara dan selepas itu kita asyik kalah pilihan raya dan terpaksa bekerjasama dengan Anwar dan DAP.

“Kali ini saya percaya DS Najib tidak akan duduk sahaja namun dia akan lawan dan dia akan bangkit semula,” ujarnya sambil menambah, Allah menguji dengan cabaran yang besar kepada orang-orang yang mampu menghadapinya dan Allah akan bantu orang-orang yang sabar dan istiqamah dalam perjuangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast