KUALA LUMPUR – Isu sebenar dalam landskap politik semasa bukan soal membubarkan mana-mana gabungan, sebaliknya kegagalan segelintir pihak memahami realiti politik dan keperluan membina kekuatan secara matang serta berprinsip.
Lantaran itu, Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Harris Idaham Rashid berkata, tiada keperluan untuk membubarkan apa-apa dan pendirian sayap tersebut konsisten.
“Yang diperlukan ialah kematangan politik, keikhlasan dalam berunding serta kesediaan membina kekuatan bersama tanpa menafikan sejarah dan fakta kemenangan yang telah dicapai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan beberapa pimpinan politik yang mencadangkan agar Muafakat Nasional (MN)dihidupkan semula, termasuk pandangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh dan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Mohd Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Khamis lalu, Dr. Akmal mencadangkan UMNO dan Pas mewujudkan semula MN.
“Alang-alang bubar sekalilah Perikatan Nasional (PN), kita wujudkan semula Muafakat Nasional (MN). Amacam?”, soal Dr Muhamad Akmal.
Bagaimanapun, Afnan berkata, penyatuan ummah yang menjadi asas MN tidak akan berjaya tanpa Bersatu.
Harris Idaham turut menegaskan hubungan antara Bersatu dan Pas bukan bersifat sementara atau taktikal, malah telah diuji dalam pelbagai fasa politik dan terbukti kukuh kerana ia berasaskan prinsip kestabilan negara, keadilan ekonomi serta pembelaan terhadap rakyat.
Namun, katanya, masih terdapat pihak yang gagal membaca realiti politik semasa dan terus terperangkap dalam polemik serta nostalgia lama, sehingga mengabaikan keperluan membina kekuatan sebenar demi kepentingan rakyat dan negara.
“Perikatan Nasional terbentuk bukan secara kebetulan, tetapi lahir daripada kesedaran politik dan pengalaman sejarah bahawa kekuatan umat dan negara hanya dapat dibina melalui muafakat yang tulen dan berprinsip.
“Dalam konteks ini, Bersatu dan Pas memainkan peranan penting sebagai teras awal yang membidankan penubuhan PN,” katanya.
Menurut Harris, kegagalan memahami hakikat ini hanya akan menyebabkan agenda penyatuan terus menjadi wacana kosong tanpa keberanian membuat keputusan politik yang tegas, sedangkan rakyat menuntut kepimpinan yang stabil, berani dan berwibawa.
Beliau turut menegaskan, segala gagasan yang dibawa atas nama MN hanya mampu direalisasikan sekiranya ia berpaksikan realiti kuasa dan mandat rakyat, dengan Perikatan Nasional dilihat sebagai platform paling hampir untuk menjayakan agenda tersebut.
“Gabungan Bersatu Pas telah membuktikan satu Muafakat Unggul, Gabungan Bersatu, Pas dan UMNO bakal menjadi Muafakat Agung yang diharapkan oleh akar umbi ketiga-tiga parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















