KUALA LUMPUR – Kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah pun `melabuhkan tirainya’ di peringkat Mahkamah Tinggi apabila Datuk Seri Najib Razak dikenakan hukuman penjara 15 tahun dan denda berjumlah RM11.38 billion.
Jumaat lalu, Hakim Datuk Collin Lawrence mensabitkan bekas Perdana Menteri terhadap kesemua 25 pertuduhan – empat pertuduhan salah guna kedudukan bagi mendapatkan suapan RM2.3 billion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Pekan itu mempunyai tempoh 14 hari untuk memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan keputusan tersebut.
Pada prosiding sehari selepas Krismas itu, Hakim Collin mengambil masa hampir lapan jam membacakan keputusan bermula pukul 9.13 pagi dan berakhir kira-kira pukul 9 malam (dua jam berhenti rehat untuk solat Jumaat), di hadapan galeri awam yang sesak dipenuhi ahli keluarga dan kenalan rapat beliau.
Meskipun alasan penghakiman yang dibaca itu bukan alasan penuh, masing-masing mendengar penuh teliti Hakim Collin mengupas satu persatu dapatan beliau sebelum mensabit dan menghukum Ahli Parlimen Pekan itu.
Hakim Collin (yang kini hakim Mahkamah Persekutuan) mengemukakan dapatan bagi empat pertuduhan salah guna kedudukan terlebih dahulu diikuti dengan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan amaun serupa – RM2.3 billion.
Antaranya beliau menekankan, keempat-empat tuduhan terhadap Najib tidak kabur atau mengelirukan, jadi tidak mungkin beliau tidak dapat menyediakan pembelaannya.
Sebaliknya mahkamah mendapati, keempat-empat pertuduhan adalah jelas kerana ia menyatakan masa, tempat kejadian serta kapasiti Najib ketika itu menjadikan pertuduhan tidak cacat atau bertindihan di antara satu sama lain sehingga boleh memprejudiskannya.
Hakim Collin selanjutnya beralih kepada isu derma politik berbilion ringgit yang didakwa diberikan oleh keluarga diraja Arab Saudi yang disokong oleh empat surat yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.
Namun, mahkamah berpuas hati bahawa wang tersebut dipindah terus ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri manakala empat surat yang menjadi asas kepada derma berkenaan, tidak dikemukakan di mahkamah mahupun disahkan.
“Keempat-empat surat itu adalah palsu kerana Najib tidak mengesahkan ia sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi dan perkara itu tidak diminitkan dalam mesyuarat Kabinet.
“Tiada pengakuan bertulis dihantar kepada keluarga Raja Arab Saudi bagi menzahirkan ucapan terima kasih atas sumbangan yang didakwa berlaku.
“Mahkamah berpuas hati, sumbangan dari keluarga diraja Arab Saudi itu bukan sahaja meragukan, malah menunjukkan wang itu sebenarnya berasal dari dana 1MDB,” ujar beliau.
Bukan setakat itu, hakim bicara juga tidak percaya jumlah dana yang sebegitu besar dipindahkan ke dalam akaun peribadi Najib kerana ia tidak disertakan rekod akaun yang lengkap dan telus.
Beliau berpendirian, ketiadaan rekod rasmi bagi mengesahkan sumbangan dari Arab Saudi menjadikan mustahil untuk mengaitkan sumbangan itu sebagai derma politik yang sah.
Menurut beliau, walaupun wang tersebut didakwa sebagai sumbangan politik, ia tidak akan menghalalkan penggunaannya sekiranya ia berasal daripada sumber haram.
Hakim Collin selanjutnya mendapati, Najib yang ketika itu Presiden UMNO memimpin sebuah parti politik terbesar di Malaysia dalam sejarah sejak 1946.
“Mustahil bagi seseorang yang berjawatan Perdana Menteri, tidak menyimpan rekod akaun yang betul bagi sebuah parti yang kononnya menerima jumlah wang yang sedemikian besar,” katanya.
Ketika membacakan penghakiman itu, Hakim Collin secara halus turut `menempelak’ Najib yang mengambil pendekatan tidak tahu menahu berhubung penyelewengan dalam syarikat pelaburan strategik negara itu.
Ujar beliau, Najib yang ketika Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dan mustahil beliau tidak tahu apa yang berlaku sehingga boleh dikelirukan oleh pengurusan tertinggi 1MDB.
Menurut Hakim Collin, Najib bukan `orang kampung’ untuk dikelirukan, sebaliknya memegang tiga jawatan terbesar serta merupakan Presiden UMNO.
Perbincangan kes 1MDB menjadi dangkal jika tidak menyentuh penglibatan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang disifatkan pihak pembelaan sebagai dalang atau `mastermind’ dalam tadbir urus syarikat itu.
Najib sepanjang pembelaannya menyalahkan Jho Low selain mendakwa tidak mengenali orang buruan itu ketika perbicaraan kes RM42 juta SRC International dan mengulangi perkara sama ketika prosiding 1MDB.
Namun, Hakim Collin sebaliknya menyatakan wujud bukti hubungan rapat Najib dan Jho Low melalui foto percutian di atas kapal layar mewah yang turut disertai keluarga bekas Perdana Menteri.
Keputusan kes berkenaan turut menjadi tumpuan umum meskipun Hakim Collin mengingatkan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan bahawa beliau hanya akan mengeluarkan alasan penghakiman penuh dalam tempoh terdekat.
Dalam pada itu, Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mengingatkan pelbagai pihak bahawa kritikan semberono terhadap keputusan mahkamah berisiko dikenakan tindakan menghina mahkamah.
Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah boleh mengkritik keputusan itu, namun perlu dibuat secara ilmiah dan beradab.
“Pihak-pihak yang terkilan dengan keputusan itu, boleh merayu ke peringkat yang lebih tinggi. Biarkan undang-undang berjalan mengikut sistem yang telah diatur,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau, semalam. – MalaysiaGazette
















