KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lelaki cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan dua kereta Perodua Myvi di KM32.3 Lebuhraya LDP, selepas Tol Puchong Gateway menghala ke Seri Kembangan, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 4.51 pagi.
Setibanya di lokasi kejadian, anggota mendapati salah seorang pemandu berusia 41 tahun tersepit di dalam kereta dan cedera parah di bahagian muka serta patah kaki.
Manakala pemandu sebuah kereta lagi, berumur 23 tahun, berjaya keluar dari kenderaan dengan sendiri dan tanpa sebarang kecederaan.
Komander Operasi, PBK I Muhammad A. Kadir yang mengetuai operasi itu berkata, mangsa yang cedera dikeluarkan dan diserah kepada pihak ambulans untuk rawatan lanjut.
Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.58 pagi setelah keadaan disahkan selamat dan terkawal. – MalaysiaGazette
















