KENYATAAN media Tourism Malaysia berkenaan isu lelaki berpakaian wanitan pada acara antarabangsa baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan mengadakan pertemuan dengan lelaki berpakaian menyerupai wanita ketika menghadiri sebuah majlis bertaraf antarabangsa, dalam masa yang terdekat.

Pengarahnya, Hanifuddin Roslan berkata pertemuan berkenaan bagi tujuan siasatan.

JAWI telah mengambil maklum insiden melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang berpakaian menyerupai wanita ketika menghadiri sebuah majlis bertaraf antarabangsa baru-baru ini,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, beliau mengesahkan JAWI telah memanggil individu berkenaan.

Sebagai rekod, tular di media sosial  rakaman video berdurasi 27 saat memaparkan lelaki dilihat mengenakan gaun mencolok mata yang terbelah hingga ke paras paha pada majlis Miss & Mister Celebrity International 2025.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata JAWI sudah diarah untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung isu perbuatan lelaki itu yang tular dalam media sosial.

Menurut Zulkifli, langkah itu bagi membolehkan tindakan sewajarnya dikenakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, susulan perbuatan lelaki berkenaan yang mengundang reaksi negatif masyarakat, dan disifatkan sebagai mencabar sensitiviti agama serta norma budaya di negara ini.

Dalam masa yang sama katanya, JAWI turut diarahkan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menurunkan kandungan terbabit dalam media sosial.

Selain itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia juga telah memberi jaminan akan mengambil tindakan terhadap penganjur acara tersebut kerana  didapati menggunakan logo tanpa kebenaran.

Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia berkata, tindakan sewajarnya itu akan diambil bagi melindungi hak harta intelek, integriti jenama dan identiti korporat rasmi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast