KUALA LUMPUR – Sekumpulan pelajar tahun akhir Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya membangunkan aplikasi mudah alih PutraPalate bagi membantu pelajar mendapatkan pilihan makanan berkhasiat pada harga berpatutan di sekitar kampus.
Aplikasi itu dibangunkan oleh tiga pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian, Aqil Danish Mohammad Yusof; Nur Syafiqah Baidrol Azmee dan Muhammad Syakir Najmi Abu Bakar dengan fokus mengenal pasti menu makanan berharga RM7 dan ke bawah di kafe sekitar UPM.
UPM dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook berkata, PutraPalate menghimpunkan senarai menu daripada kafe dalam kampus dan memudahkan pelajar membuat pilihan mengikut bajet harian.
Menurutnya, pelajar juga boleh menyemak maklumat menu secara terus melalui aplikasi, sekali gus merancang perbelanjaan dengan lebih teratur.
“Selain mencari makanan mampu milik, aplikasi ini turut berfungsi sebagai alat pengurusan kewangan.
“Setiap transaksi makanan dan minuman boleh direkodkan bagi membantu pelajar menilai corak perbelanjaan sama ada masih terkawal atau telah melebihi bajet,” katanya.
Tambahnya, dibangunkan menggunakan platform tanpa kod AppSheet, aplikasi itu disiapkan dalam tempoh kira-kira seminggu dan berpotensi diperluas ke universiti lain pada masa hadapan. – MalaysiaGazette
















