Jenazah mangsa diserahkan kepada polis selepas disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM.

​SERIAN – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai terlibat dalam kemalangan sebelum terjatuh ke dalam sungai di Jalan Muara Mongkos, awal pagi tadi.

​Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu, mangsa yang berusia 22 tahun dilaporkan terbabas lalu merempuh palang besi jambatan di laluan berkenaan sebelum terjunam ke dalam sungai.

​Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.55 pagi dan segera menggerakkan sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian ke lokasi kejadian.

​”Setibanya pasukan penyelamat di lokasi yang terletak sejauh 38 kilometer dari balai itu, didapati mangsa telah pun ditemui oleh penduduk kampung yang berada di kawasan sekitar.

​”Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terlibat dalam kemalangan kenderaan sebelum impak pelanggaran menyebabkan dia melepasi palang besi jambatan dan terjatuh ke sungai dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Petugas perubatan Kementerian Kesihatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

​Mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast