KUANTAN – Pemuda UMNO Pahang menegaskan perjuangan untuk memastikan Datuk Seri Najib Razak mendapat keadilan seadil-adilnya masih belum tamat.
Ketuanya, Mohd Kamil Ibrahim berkata, selagi kebenaran dinilai dengan timbangan yang tidak seimbang, selagi itulah perjuangan ini belum berakhir.
Ia kerana, bagi rakyat keadilan yang ditangguh dan dinafikan adalah keadilan yang dirampas.
Katanya, Pemuda Pahang bukan menolak undang-undang tetapi ramai tertanya-tanya ke mana arah timbangan kebenaran yang diadili bagi bekas perdana menteri itu.
Hujah beliau, dalam kes SRC, Najib dikaitkan dengan tanggungjawab penuh sedangkan fakta-fakta lain yang melibatkan struktur, proses dan pihak-pihak berkepentingan tidak diberi perhatian sewajarnya.
Menurutnya, rakyat biasa pun faham dalam sebuah organisasi besar, keputusan tidak pernah dibuat oleh seorang insan sahaja.
Namun, akhirnya hanya satu nama terus dipikul sebagai kesalahan.
Lebih mengusik perasaan rakyat, katanya adalah isu Titah Adendum – satu titah yang dikatakan wujud, disebut oleh pelbagai pihak, namun berulang kali dinafikan dan dipersoalkan.
“Hari ini kata ada, esok kata tiada. Kenyataan demi kenyataan berubah nada dan arah, seolah-olah kebenaran itu boleh disesuaikan mengikut keadaan.
“Keadaan ini menimbulkan persoalan besar jika titah diraja sendiri boleh dipandang remeh, di manakah letaknya penghormatan kepada sistem dan Perlembagaan?, soal beliau.
Kata beliau lagi, sepanjang perjalanan kes ini, terlalu banyak kenyataan yang ‘flip flop’.
“Hari ini satu versi, esok versi lain. Yang sebelum ini ditegaskan, kemudian disangkal kembali.
“Yang sudah diyakinkan, akhirnya dipersoalkan semula. Semua ini membuatkan rakyat melihat seolah-olah wujud satu satu tangan ghaib yang sedang bekerja keras untuk menundukkan Dato’ Sri Najib Razak dengan apa jua cara agar beliau tidak berdiri lagi,” hujah beliau.
Mohd Kamil berkata, dalam negara yang menjunjung undang-undang, keadilan tidak boleh dibina atas andaian seperti ‘mustahil tidak tahu’ atau ‘pasti terlibat’.
Malah, hukum juga tidak boleh bersandar pada rasa, apatah lagi pada tekanan suasana.
Bukti mesti mengatasi sangkaan, dan kebenaran mesti berdiri lebih tinggi daripada persepsi.
“Lebih menyayat hati, apabila kata-kata mereka yang mengaku terlibat diberi kepercayaan, tetapi mereka ini tidak langsung diberikan apa-apa tindakan dan dibiarkan berleluasa tanpa prejudis.
“Dalam isu derma Arab Saudi pula, bukti bertulis dan pertemuan rasmi diketepikan, walhal undang-undang sendiri membenarkan penerimaan dokumen walaupun pihak pemberi berada di luar negara.
“Di sini, rakyat mula bertanya, adakah undang-undang dipakai secara adil, atau ditafsir secara terpilih?,” katanya dengan menegaskan kenyataan ini bukan untuk mencabar mahkamah, jauh sekali menghina institusi kehakiman.
Namun, tegas beliau, keadilan hanya akan dihormati apabila ia bukan sahaja sah di atas kertas, tetapi dirasai adil di dalam hati rakyat.
“Atas semua yang berlaku daripada kes SRC, isu Titah Adendum yang dinafikan, kenyataan yang berubah-ubah, hingga beban yang diletakkan hanya kepada seorang seorang insan bernama Najib Razak.
“Kami semua masih berpendirian yang Najib Razak belum menerima keadilan yang seadil-adilnya. Selagi kebenaran dinilai dengan timbangan yang tidak seimbang, selagi itulah perjuangan ini belum berakhir,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















