KUANTAN – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diseru ambil tindakan penguatkuasaan lebih tegas terhadap syarikat telekomunikasi yang gagal menangani gangguan perkhidmatan dengan kadar segera di Pulau Tioman, Rompin.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, Fadzli Mohamad Kamal berkata, kepentingan dan kebajikan rakyat tidak wajar dipandang ringan, apatah lagi melibatkan akses komunikasi asas yang menjadi keperluan utama dalam aspek keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
“Saya menerima aduan daripada pemimpin setempat yang kecewa apabila sehingga kini syarikat telekomunikasi masih gagal mengambil tindakan sewajarnya untuk memulihkan semula perkhidmatan selular di Kampung Salang, Pulau Tioman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lebih membimbangkan, cuaca tidak menentu yang melanda beberapa daerah di Pahang termasuk di Rompin, berpotensi memburukkan lagi keadaan, apatah lagi beberapa lokasi di Pulau Tioman turut dilanda banjir.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa kerana pihak syarikat telekomunikasi tidak mengambil tindakan pemulihan dan pembaikan dengan kadar segera sebaik sahaja berlakunya gangguan perkhidmatan selular.
“Ini membuktikan syarikat telekomunikasi tidak serius, sekali gus gagal mengotakan janji menyelesaikan sebarang isu gangguan perkhidmatan dengan kadar segera sepertimana yang telah dipersetujui semasa Sesi Libat Urus Bersama Pemain Industri Telekomunikasi, Pos Dan Kurier Negeri Pahang yang diadakan pada 8 September 2025 tempoh hari.
“Saya memohon kepada Menteri Komunikasi dan pihak MCMC untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas berdasarkan perundangan sedia ada,” katanya lagi.
Jelas Fadzli, tindakan itu penting bagi memastikan semua syarikat berkenaan lebih bertanggungjawab dan serius dalam menangani isu gangguan perkhidmatan telekomunikasi.
Ia termasuk masalah dihadapi pengguna di Pulau Tioman, selain menyelesaikan segera segala permasalahan yang turut dihadapi di kawasan luar bandar dan pedalaman di seluruh Pahang.
Semalam, media melaporkan lebih 100 orang penduduk Kampung Salang di Pulau Tioman masih terputus talian telekomunikasi melibatkan talian telefon dan capaian internet sejak 17 Disember lalu. – MalaysiaGazette
















