Justo
Xavier Andre Justo. foto FAREEZ FADZIL, 24 MEI 2018 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Pemberi maklumat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Xavier Andre Justo menyifatkan keputusan terhadap Datuk Seri Najib Razak menunjukkan tiada pihak yang kebal daripada undang-undang.

Beliau yang juga bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd., menegaskan, kes tersebut memakan masa bertahun-tahun yang menggambarkan segala salah laku apabila kuasa, wang dan rasuah bergabung.

“Saya sentiasa bersama mangsa-mangsa, rakyat Malaysia yang menderita ketika wang dicuri dalam skala begitu besar. Dana syarikat pelaburan strategik negara itu sepatutnya merancakkan pembangunan ekonomi melalui perkongsian global.

“Namun, berbilion-bilion telah dijarah. Wang yang sepatutnya boleh membawa perubahan. Untuk hospital. Untuk sekolah. Untuk kerja-kerja awam. Untuk masa depan,” katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.

Beliau memberi reaksi terhadap keputusan Mahkamah Tinggi kelmarin yang menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda berjumlah RM11.38 bilion terhadap bekas Perdana Menteri yang didapati bersalah melakukan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Penyokong yang hadir untuk memberi sokongan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendengar keputusan kes akhir pembelaan yang berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB ketika di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 26 DISEMBER 2025. (GAMBAR FAIL)

Xavier merupakan individu yang membocorkan butiran kepada media mengenai bagaimana berbilion ringgit diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 hingga 2011.

Menerusi hantaran itu, beliau melahirkan kelegaannya dan menyifatkan hari tersebut sebagai amat bermakna padanya.

Beliau secara peribadi menyatakan, ia hasil daripada kerja keras selama bertahun-tahun dalam keadaan terasing, namun berpegang kepada kebenaran, walau setinggi mana harga yang perlu dibayar.

“Ia melegakan untuk melihat undang-undang berfungsi, keadilan ditegakkan dan keyakinan dipulihkan, bukan sahaja terhadap sistem, tetapi juga terhadap manusia,” katanya.

Menerusi hantaran tersebut, warganegara Switzerland itu turut mengucapkan terima kasih kepada hakim dan pendakwa raya atas keberanian mereka menegakkan keadilan dan kebebasan di negara ini dan kesannya melangkaui Malaysia.

“Ia terpakai kepada pemberi maklumat, mangsa rasuah dan mereka yang sebelum ini diberitahu bahawa bercakap benar adalah sia-sia. Keadilan itu penting,” katanya.

“Usaha mereka selama ini telah menghantar mesej yang jelas, tiada sesiapa kebal daripada undang-undang, tanpa mengira kuasa yang pernah dimiliki pada masa lalu,” katanya.

Xavier, 59, ditahan di rumahnya di pulau peranginan Koh Samui di selatan Thailand pada 22 Jun 2015 selepas pegawai PetroSaudi membuat aduan bahawa dia cuba memeras ugut syarikat itu sebanyak 2.5 juta Swiss francs (RM11 juta) dengan menggunakan dokumen-dokumen yang dicuri daripada syarikat itu.

Pada Ogos 2015, Mahkamah Jenayah Selatan Bangkok menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun selepas dia mengaku bersalah dan seterusnya ditahan di Penjara Reman Bangkok.

Beliau menghabiskan lebih setahun dalam tahanan dan dibebaskan pada 20 Disember 2016 selepas mendapat dua pengampunan diraja yang membolehkan hukuman dipendekkan kepada satu pertiga serta pembebasan awal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast