Ketua Polis Daerah Rompin memaklumkan kemalangan berpunca lori treler hilang kawalan

KUANTAN – Seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kereta di kilometer 132 Jalan Kuantan-Seremban pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 6.25 pagi tadi ketika cuaca hujan di lokasi terbabit.

“Hasil siasatan awal mendapati, lori treler dalam perjalanan dari arah Keratong 2 hendak ke menghala ke Muadzam Shah.

“Manakala sebuah MPV jenis Mitsubishi Expander dinaiki mangsa bersama enam ahli keluarga dan sebuah kereta Nissan Almera dinaiki dua individu pula dari arah Muadzam Shah menghala ke Seremban,” katanya dalam kenyataan.

Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu lori treler telah hilang kawalan ke atas kenderaan itu dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar MPV serta kereta Nissan Almera di belakangnya.

Akibat kemalangan itu, Sharif Shai berkata, mangsa bernama So’id Lebai Hamid yang duduk di bahagian belakang MPV parah di  kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Kesemua pemandu dan penumpang bagi ketiga-tiga kenderaan terlibat tidak mengalami kecederaan dan jenazah mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat,” katanya lagi.

Menurut Sharif Shai lagi, pemandu lori treler berusia 37 tahun itu telah ditahan bagi membantu siasatan kes yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tambahnya, pemandu lori treler berkenaan turut mempunyai 16 rekod saman lalulintas pelbagai kesalahan yang belum dijelaskan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast