Tangkap layar menunjukkan suspek mencuri beg mangsa sebelum melarikan motosikal milik warga emas itu.

GEORGE TOWN – Seorang warga emas kerugian kira-kira RM1,500 apabila beg dan motosikal miliknya dicuri ketika dia berada dalam sebuah masjid di Batu Uban di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima daripada mangsa berusia dalam lingkungan 70-an pada hari sama.

“Hasil siasatan awal mendapati beg milik mangsa yang mengandungi wang tunai RM100 serta sebuah motosikal dilarikan ketika warga emas berkenaan berada di dalam masjid terbabit.

“Anggaran kerugian keseluruhan dianggarkan sekitar RM1,500 termasuk motosikal dan wang tunai,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, polis kini sedang mengesan suspek bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video berdurasi 30 saat memaparkan seorang lelaki berpakaian hitam mengambil sebuah beg milik seorang warga emas yang sedang berehat di dalam masjid sebelum melarikan motosikal mangsa.

Rakaman itu dipercayai diperoleh daripada kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam masjid berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast