KUALA LUMPUR – Persatuan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) bersama rakan strategik Loonaq Records dan komuniti media sosial bagi komposer, pengkarya serta penyanyi muzik berasaskan AI, Awangliku Channel telah mengambil bahagian aktif dalam BudayaVerse 2025.
Ia merupakan sebuah program pertemuan seni, budaya, teknologi dan inovasi digital.
Sepanjang penganjuran acara, booth AIMXCHANGE telah menerima kunjungan ramai pengunjung terdiri daripada pencipta kandungan, komposer muzik AI, penyanyi dan peminat industri kreatif yang hadir untuk mendapatkan penerangan lanjut serta memuat naik karya lagu AI mereka secara langsung.
Sambutan diterima mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap penciptaan dan kolaborasi muzik berasaskan teknologi AI dalam kalangan komuniti tempatan.
IRAMA diwakili oleh timbalan presidennya, Othman Mahmood, manakala Loonaq Records diwakili oleh Nur Fitrah Arbai’yah dan komuniti Awangliku Channel diwakili oleh pencetusnya, Hamdan Ani.

Penyertaan bersama itu menandakan komitmen berterusan organisasi dan komuniti kreatif untuk membangunkan ekosistem muzik digital yang lebih inklusif dan mampan.
Komuniti Awangliku Channel kini mempunyai pengikut dan penggiat kreatif dari pelbagai negeri termasuk Sabah dan Sarawak, dengan penglibatan rakan strategik seperti Halim Bataq Arts (Sabah) dan channel TikTok pakmaun (Sarawak).
Komuniti ini turut menjalin kolaborasi bersama rakan kreatif dari Indonesia di bawah payung Studio Media Maju Malaysia, sekali gus memperkukuh jaringan kreatif serantau.
Dalam sesi perkongsian di BudayaVerse 2025, Rozman Abas, pengasas AIMXCHANGE dan Setiausaha IRAMA, menekankan perubahan landskap industri muzik global yang semakin dipacu oleh teknologi AI.
Beliau turut menggariskan keperluan mewujudkan platform komuniti yang berstruktur bagi melindungi kepentingan pencipta, memperkukuh dokumentasi karya serta memberi pengiktirafan sewajarnya kepada komposer dan pengkarya muzik AI tempatan.
Menurut beliau, AIMXCHANGE berperanan sebagai platform yang menghimpunkan pencipta muzik AI, menyediakan ruang kolaborasi antara bakat manusia dan teknologi, serta menjadi jambatan antara komuniti, label bebas dan industri muzik arus perdana.
Kerjasama antara IRAMA, Loonaq Records dan komuniti Awangliku Channel ini mencerminkan aspirasi bersama untuk membina ekosistem muzik digital Malaysia yang progresif, berteraskan komuniti dan berdaya saing di peringkat serantau serta antarabangsa. – MalaysiaGazette
















