SEOUL – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di meninggal dunia ketika bercuti ski bersama keluarganya selepas lengannya tersangkut pada sebuah travelator.
Menurut laporan media Jepun yang memetik kenyataan polis, Hinata Goto sedang bersiap untuk melangkah keluar dari travelator di cerun ski sebuah resort di Hokkaido apabila dia terjatuh dan lengan kanannya tersepit dalam mesin tersebut.
Travelator yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan gagal diaktifkan. Mesin tersebut hanya berhenti selepas ibu mangsa menekan butang henti kecemasan.
Semasa kejadian tiada kakitangan resort yang bertugas di situ.
Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira 40 minit untuk membuka sebahagian travelator bagi membebaskan kanak-kanak itu, yang ketika itu telah tidak sedarkan diri.
Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia di hospital.
Kakitangan Resort Ski Asarigawa Onsen di Otaru berkata, mekanisme keselamatan travelator berkenaan, yang direka untuk menghentikan operasi serta-merta sekiranya mengesan objek tersepit dalam mesin, telah berfungsi lebih awal pada hari kejadian.
Polis sedang menyiasat insiden tersebut bagi menilai sama ada terdapat sebarang kecuaian profesional, termasuk dalam aspek pembuatan dan penyelenggaraan travelator itu.
Travelator tersebut telah dipasang kira-kira enam tahun lalu sepanjang 30 meter (98 kaki) dan lebar 60 sentimeter (24 inci), serta tidak dilengkapi palang tangan.
Ia menghubungkan tempat letak kereta resort dengan cerun ski.
Seorang wakil Resort Ski Asarigawa Onsen memohon maaf atas kejadian tersebut dan berkata pihaknya akan mengambil tindakan bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang.
Hokkaido dikenali sebagai ibu kota ski Jepun dan menerima jutaan pelawat setiap tahun, dengan sebahagian besar daripada mereka berkunjung pada musim sejuk untuk percutian ski. -Agensi
















