Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Misbahul Munir Masduki

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus berdepan tekanan daripada pemimpin Pas susulan kemelut politik di Perlis yang berakhir dengan ADUN parti itu dilantik sebagai Menteri Besar Perlis baharu.

Terbaharu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohd Misbahul Munir Masduki mempersoalkan mengapa Bersatu tidak mengambil tindakan terhadap lima ADUN yang didakwa menarik balik sokongan terhadap bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Sedangkan, kata beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum itu dilabel sebagai pengkhianat dan dipecat daripada parti itu.

“Lima ADUN Bersatu tarik sokongan Menteri Besar PN (Perikatan Nasional) bukan pengkhianat juga ke? Dan kenapa tidak pula dipecat ya?” soalnya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Sebelum ini, Bersatu mengambil tindakan memecat enam Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Anwar iaitu Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Turut dipecat ialah Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Sementara itu, Bendahari Agung Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad menerusi laman sosial Facebook pula menegaskan, perbuatan pengkhianatan tidak boleh dilepaskan tanpa sebarang tindakan.

Datuk Iskandar Abdul Samad
Iskandar Abdul Samad

“Saya tidak sedih tetapi gembira kerana kita sekarang kita warna sebenar mereka. Pengkhianatan tidak boleh dibiarkan tanpa dihukum,” katanya.

Semalam, Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis ke-12, sekali gus menamatkan kemelut berkenaan kedudukan Menteri Besar di negeri itu, selepas wujudnya dakwaan lapan ADUN mengemukakan SD menarik balik kepercayaan kepada Mohd Shukri. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast