KUALA LUMPUR – Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga susulan kes seorang lelaki mencederakan bekas isteri dan anaknya di Taman Sientex, Kundang Jaya, Kundang, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan, Abang Kaderi Abang Wasli berkata, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku lebih kurang jam 11.47 malam di sebuah kediaman.
Kejadian berpunca daripada perselisihan faham berkaitan isu nafkah melibatkan suspek, seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 34 tahun.
Menurutnya, ketika menghantar anak ke rumah bekas isterinya, suspek telah bertindak agresif terhadap wanita itu, selain
menolak anak perempuan mereka yang berusia tujuh tahun sehingga menyebabkan mangsa terjatuh serta mengalami luka di bahagian lutut.
Kejadian itu tular di media sosial.
“Kini di peringkat siasatan lanjut pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan.
Abang Kaderi meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Muhammad Amirul Mohd Sharit di talian 016-6740989 atau terus menghubungi bilik gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222. – MalaysiaGazette















