Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman

KUALA LUMPUR – Pas mencabar Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin membuktikan dakwaan kononnya sumpah baiah yang dikenakan terhadap pimpinannya mempertaruhkan isteri.

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman mengingatkan Mufti Perlis itu agar tidak membuat tuduhan melulu tanpa menyiasat perkara sebenar.

“Tunjukkan di mana perkara yang ‘memalukan’ di dalam teks lafaz baiah dan sumpah ini? Tiada di Perlis. Kita diajar, jangan diadakan perkara yang tiada. Tabayyun, laisa ‘Tibayyun’,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook hari ini.

Semalam, Mufti Perlis itu mengkritik pentadbiran Pas Perlis yang kononnya mengenakan sumpah baiah dengan menceraikan isteri terhadap wakil-wakil rakyatnya.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Menurut Asri, tindakan Pas itu bertentangan dengan politik Rasulullah SAW yang menuntut kepada memperkukuhkan hubungan kekeluargaan.

Sementara itu, Syahir turut membidas kenyataan Asri yang meminta pihak mendakwa krisis Menteri Besar Perlis berpunca daripada isu projek bagi mengelakkan Istana terpalit dengan tuduhan tersebut.

“Jika berpayung di luar pagar, jangan terkena tempias hujannya, jika meninjau halaman (projek) di pasiran, jangan terkena debu kotorannya.

“Kita diajar, jangan diungkap perkara yang tidak diungkap,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast