KUALA LUMPUR – Biar pun tujuh kali cubaan untuk hamil, bekas pesakit kanser payudara, penjawat awam, Juliana Razid, 43, tidak pernah berputus asa untuk memiliki zuriat.
Selepas dua tahun mendirikan rumah tangga, Juliana berdepan ujian selepas disahkan menghidap mucinous carcinoma iaitu kanser payudara jarang dijumpai yang hanya melibatkan satu hingga dua peratus kes dan menyerang wanita lebih berusia atau hampir menopus.
“Saya mengesan terdapat ketulan di payudara kanan pada September 2016 yang ketika itu baru berusia 34 tahun dan tiada sejarah keluarga yang menghidap kanser. Bila orang tanya kenapa saya kena, saya terima ini sebagai ujian yang Allah beri.
“Pada masa sama, saya ketika itu bertugas di luar negara manakala suami di Malaysia dan kami hanya bertemu dua tahun sekali. Saya didiagnosis kanser selepas menjalani biopsi di Hospital Putrajaya dan mohon majikan untuk pulang ke tanah air.
“Kanser yang saya alami adalah Mucinius Carsinoma tahap 2 gred 2 A1 yang biasanya berlaku dalam kalangan mereka yang berusia 50-an atau sudah menopaus. Kadarnya adalah satu peratus sahaja pesakit yang kena kanser jenis ini,” katanya pada Program Hari Bersama Media 2025 bersama Pusat Reproduktif Termaju (ARC), Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM).

Juliana yang berasal dari Taiping, Perak turut memaklumkan kepada semasa sesi konsultasi bersama doktor, dia dan suami dalam proses mendapatkan anak.
Namun atas nasihat doktor, dia perlu melalui pembedahan payudara serta 22 nodus limfa bagi mengelakkan kanser merebak di Institut Kanser Negara (IKN).
“Saya perlu menjalani sebanyak enam kali kimoterapi dan terakhir pada Julai 2017 diikuti dengan pengambilan tamoxifen selama lima tahun.
“Doktor kata, setahun selepas rawatan sekiranya baik, maka saya boleh berusaha untuk hamil dan selepas semua pemeriksaan termasuk CT Scan menunjukkan dalam keadaan baik, saya dirujuk ke bahagian sakit puan Hospital Putrajaya.
“Berbekalkan perbincangan dengan keluarga dan kami memang mahu memiliki cahaya mata, saya teruskan dengan menjalani IUI (prosedur memasukkan sperma ke dalam rahim) di Hospital Putrajaya,” ujarnya.

Tambah Juliana, sebanyak empat kali kitaran IUI dilakukan di Hospital Putrajaya sebelum dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM) untuk rawatan IVF di bawah seliaan pakar reproduktif dan onkoferiliti, Profesor Madya, Dr Mohd Faizal Ahmad pada Mei 2020.
Katanya, selepas tujuh kitaran IVF dilakukan, akhirnya Juliana disahkan hamil pada Disember 2024 dan selamat melahirkan seorang anak perempuan, Emma Emily Fariq Azwar pada 24 Julai 2025 ketika kandungan berusia 37 minggu lima hari melalui pembedahan elektif.
“Sepanjang kehamilan, berat badan saya turun. Saya tidak berani berkongsi berita gembira itu kepada orang lain kerana tiada jaminan ia selamat.
“Akhirnya, saya melahirkan bayi perempuan pada 24 Julai 2025. Saya masih menyusukannya. Alhamdulilah cukup tapi perlu campur dengan susu formula,” katanya.
Dalam pada itu, Juliana turut menasihati kepada mereka yang sedang berjuang mendapatkan zuriat digesa mendapatkan pemeriksaan awal dan rawatan daripada doktor tanpa rasa malu selain menjaga kesihatan fizikal dan emosi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Kira-kira 800 prosedur rawatan IVF direkodkan setiap tahun di ARC
















