KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Sabah membuat kejutan apabila mempertaruhkan Mohd Ismail Haji Ayob (MIHA) sebagai calon perpaduan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, langkah itu dilihat sebagai pendekatan berhemah dalam menguruskan dinamika politik di Kinabatangan yang sering menjadi tumpuan nasional.

Beliau menjelaskan, pencalonan MIHA dibuat melalui kapasiti keahlian terus (direct membership) BN, satu strategi yang bertujuan merapatkan jurang politik dan mengurangkan konflik di peringkat akar umbi.

“BN Sabah memilih untuk tidak terperangkap dalam percaturan politik lama, sebaliknya mengutamakan kestabilan selari dengan semangat Kerajaan Perpaduan.

“Kami memilih untuk mengambil pendekatan calon perpaduan sebagai strategi politik berasaskan institusi bagi memperkukuh kerjasama yang lebih menyeluruh serta memastikan agenda pembangunan rakyat dilaksanakan tanpa gangguan ketidaktentuan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MIHA sebelum ini merupakan calon Bebas untuk DUN Lamag juga merupakan pesaing terkuat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

MIHA memperoleh 3,755 undi di belakang Bung yang memperoleh 3,908 dengan beza hanya 153 undi.

Datuk Jafry Ariffin duadari kiri ketika ditemui media hari ini.

Dalam pada itu, Jafry turut memberi isyarat mengenai keperluan kepimpinan pelapis dalam UMNO Sabah dengan menonjolkan nama Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar sebagai calon BN untuk Parlimen Kinabatangan.

“Mohd Naim sebagai pemimpin muda mempunyai legitimasi organisasi dan penerimaan akar umbi yang kuat bagi memenuhi keperluan kepimpinan masa hadapan.

“Kita peka terhadap segmen pengundi muda.

“Keperluan memperkukuh kepimpinan pelapis serta membina naratif politik yang inklusif adalah penting bagi memastikan BN kekal relevan,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, itu juga memperlihatkan keharmonian hubungan antara BN Sabah dengan kepimpinan Persekutuan serta Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

“BN Sabah juga ingin menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah atas komitmen memastikan kelangsungan pentadbiran negeri yang stabil.

“Perbezaan pendapat adalah lumrah dalam demokrasi, namun ia mesti diurus secara matang, berinstitusi dan bertanggungjawab demi menjaga kepentingan rakyat,” katanya lagi.

Pilihan Raya Negeri Sabah yang baru sahaja berakhir sebelum ini menjadikan PRK DUN Lamag sebagai medan ujian penting untuk melihat sejauh mana formula calon perpaduan ini mampu diterima oleh pengundi di kubu kuat tradisi BN itu.

Dua PRK itu perlu dilakukan selepas penyandang dua kerusi tersebut, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin menghembuskan nafas terakhir pada 5 Disember lalu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast