KUALA LUMPUR- Penambahbaikan operasi akan dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 bagi melancarkan pergerakan penumpang yang berlepas ke luar negara bermula 1 Januari ini.
Kementerian Pengangkutan berkata, ketika ini Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menjalankan pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas Departure Screening di zon berlepas selepas Imigresen.
Susun atur ini berpotensi menyebabkan kesesakan pada waktu puncak perjalanan.
“Mulai 1 Januari 2026, pemeriksaan JKDM terhadap pengembara yang keluar dari Malaysia akan disatukan di pintu-pintu pelepasan.
“Ini bermakna penumpang akan melalui aliran pergerakan yang lebih lancar sebelum menaiki pesawat, sekali gus mengurangkan kesesakan dan masa menunggu di zon berlepas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah MOT, penambahbaikan itu dilaksanakan melalui kerjasama rapat antara MOT, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), JKDM dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Katanya, langkah itu tidak menjejaskan tahap keselamatan atau penguatkuasaan kastam.
Sebaliknya, pemeriksaan penumpang dan barangan akan terus diperkukuhkan melalui penyelarasan operasi dan pematuhan prosedur yang dipersetujui bersama.
Sebarang cubaan membawa keluar barangan yang melanggar undang-undang akan tetap dikenakan tindakan tegas.
Penambahbaikan itu juga katanya, dijangka dapat meningkatkan pengalaman penumpang, mempercepatkan proses menaiki pesawat serta memastikan operasi KLIA Terminal 1 berjalan dengan lebih cekap, selamat dan tersusun, selaras dengan amalan terbaik lapangan terbang antarabangsa. -MalaysiaGazette
















