Oleh: Ismail Hashim Yahaya
MEMASUKI awal tahun 2026, prestasi Kerajaan Madani tidak boleh dinilai semata-mata melalui angka ekonomi atau kestabilan institusi. Ia perlu dibaca sebagai satu persoalan makna: sejauh mana dasar, reformasi dan keputusan kerajaan diterjemahkan menjadi pengalaman yang difahami dan diyakini oleh rakyat. Cabaran utama kerajaan Madani bukan lagi terletak pada persoalan sama ada ia mampu mentadbir negara tetapi sama ada ia mampu membina makna yang dipercayai rakyat.
Dalam keadaan ekonomi yang relatif stabil, institusi yang terus berfungsi dan dasar sosial yang dilaksanakan secara berterusan, paradoks politik yang muncul ialah jurang kepercayaan yang tidak menyusut malah semakin mengeras dalam ruang digital. Ini menandakan bahawa Malaysia tidak berhadapan dengan kegagalan sistemik sebaliknya dengan satu krisis yang lebih halus, mengancam dan berbahaya: krisis naratif dan legitimasi simbolik.
Dalam pendekatan semiotik, prestasi kerajaan tidak hanya dinilai melalui keberkesanan operasi lebih jauh lagi melalui cara prestasi itu ditandakan, diceritakan, dan akhirnya diterima oleh masyarakat. Pada tahap operasi, Kerajaan Madani berfungsi. Sistem kewangan stabil, pelaburan asing berterusan, pengurusan hutang negara terkawal dan pada tempoh tertentu, mata wang ringgit menunjukkan pengukuhan relatif.
Semua ini menandakan kecekapan pentadbiran asas yang tidak boleh dinafikan. Namun pada tahap naratif dan penerimaan sosial, ketegangan mula terserlah. Prestasi yang wujud tidak berubah menjadi keyakinan kolektif dan pencapaian yang nyata gagal membentuk cerita yang hidup dalam pengalaman rakyat.
Ekonomi menjadi contoh paling jelas bagaimana prestasi boleh tenggelam dalam kitaran makna yang negatif. Bahasa ekonomi Madani banyak berlegar pada disiplin fiskal, rasionalisasi subsidi dan penstrukturan jangka panjang. Daripada sudut dasar, pendekatan ini wajar.
Namun secara semiotik, ia terlalu abstrak untuk kebanyakan rakyat. Pengukuhan mata wang, misalnya, ialah isyarat penting kepada pasaran dan pelabur tetapi dalam imaginasi awam, ia hampir tidak wujud atau diberikan keprihatinan oleh rakyat kerana berasa merasainya.
Bahkan media tidak menguar-urakannya sebagai satu naratif positif dan kisah kejayaan mencapainya dan bagaimana kerajaan Madani melakukannya harus disebar dalam media sosial seperti TikTok misalnya. Namun naratif dominan di media sosial bukan tentang kestabilan ringgit atau keyakinan pelabur tetapi masih berlegar tentang kos sara hidup, tekanan harian dan rasa terpinggir. Prestasi ekonomi yang sebenar akhirnya tenggelam dalam kitaran naratif kebencian dan momokan, di mana emosi mengatasi fakta dan pengulangan mengatasi penjelasan.
Jurang ini bukan berlaku kerana rakyat menolak realiti tetapi kerana realiti itu tidak diterjemahkan ke dalam bahasa pengalaman hidup. Rakyat tidak hidup dalam graf, statistik atau istilah teknikal. Mereka hidup dalam bil dapur, harga barang dan kebimbangan masa depan. Apabila kerajaan gagal enghubungkan pencapaian makro dengan makna mikro, naratif negatif akan mengisi kekosongan tersebut dengan lebih pantas dan lebih berkesan.
Dalam bidang politik, keadaan ini menjadi lebih kompleks. Secara institusi, politik Madani stabil. Parlimen berfungsi, proses perlembagaan dihormati dan badan kehakiman beroperasi tanpa gangguan terang-terangan. Namun kestabilan ini bersifat prosedural dan pengurusan. Ia tidak diterjemahkan sebagai kepimpinan imaginatif yang mampu mengikat emosi dan harapan kolektif.
Politik Madani kelihatan sah namun tidak menggerakkannya. Ia mempertahankan sistem tetapi gagal membina simbol transformasi yang mudah dirasai rakyat. Kekosongan imaginatif ini dimanfaatkan oleh naratif antagonistik di ruang digital khususnya naratif kebencian terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai simbol kegagalan negara. Naratif seperti “Turunkan Anwar” tidak memerlukan hujah ekonomi atau perlembagaan. Ia hidup kerana ringkas, emosional dan boleh diulang tanpa henti.
Dalam logik semiotik, ia membina dunia yang mudah: ada musuh yang jelas, ada rasa marah yang sah dan ada saluran untuk meluahkan kekecewaan. Kerajaan pula sering berada dalam kedudukan defensif, menjawab tuduhan satu demi satu, tanpa berjaya mematahkan bingkai cerita yang telah ditetapkan oleh lawan. Sementara itu dalam Isu identiti dan wilayah khususnya di Sabah dan Sarawak ia menambah lapisan kerumitan ini. Walaupun dasar, peruntukan dan rundingan berjalan, naratif yang sampai ke rakyat wilayah sering bersifat pentadbiran bukan pengiktirafan makna.
Rakyat mungkin melihat tindakan tetapi tidak merasakan pengakuan simbolik. Dalam politik makna, rasa “diiktiraf” sering lebih penting daripada jumlah peruntukan yang diumumkan. Dari sudut sosial, Malaysia kekal relatif tertib. Tiada gelombang penentangan besar atau kekacauan terbuka. Namun ketertiban ini tidak boleh disalah tafsir sebagai keyakinan. Apa yang berlaku ialah penangguhan kepercayaan. Rakyat patuh tetapi sinikal. Mereka menerima bantuan, tetapi tidak melihatnya sebagai tanda keberpihakan jangka panjang.
Bantuan tunai dianggap sementara subsidi dianggap hak lama dan dasar sosial dianggap reaktif. Ini bukan penolakan bahkan keletihan simbolik — satu keadaan di mana masyarakat tidak lagi terhubung secara emosi dengan simbol-simbol kuasa. Ini adalah perkara yang dibimbangi dan dicari jalan penyelesaian dan mungkin memerlukan pengurusan naratif strategik.
Dalam isu rasuah dan pembersihan institusi dilema yang sama berulang. Pendakwaan dan hukuman ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan bahawa sistem kehakiman berfungsi. Ia penting sebagai simbol moral dan isyarat bahawa kuasa tidak kebal. Namun apabila naratif anti-rasuah terlalu tertumpu pada satu figura, ia berisiko menutup dimensi yang lebih penting: kejahatan struktur dan kejahatan halimunan.
Rasuah moden jarang kelihatan dramatik. Ia beroperasi melalui prosedur sah, kelulusan senyap dan kesinambungan budaya lama. Reformasi sebenar berlaku melalui pengetatan sistem, pemisahan kuasa dan ketelusan proses tetapi perubahan ini sukar dilihat dan jarang diceritakan dengan berkesan. Akibatnya rakyat melihat simbol hukuman tetapi tidak merasakan pembebasan sistem. Dalam politik digital, semua kelemahan naratif ini diperbesarkan. Algoritma media sosial tidak mengutamakan kebenaran atau keseimbangan tetapi emosi dan keterlibatan.
Naratif kebencian lebih mudah disebarkan kerana ia ringkas, marah dan berulang. Naratif kerajaan pula panjang, berlapik dan defensif. Dalam konteks ini, walaupun kerajaan melakukan perkara yang nyata untuk rakyat, persepsi awam tetap negatif kerana makna ditentukan oleh cerita yang paling kuat, bukan dasar yang paling betul.
Di sinilah keperluan pembetulan naratif menjadi kritikal. Kerajaan Madani tidak boleh terus bercakap dalam bahasa pengumuman dan pencapaian semata-mata. Ia perlu bercakap dalam bahasa pengalaman, empati dan pengakuan. Dalam politik makna, ayat seperti: “Kami tahu ini belum cukup, dan kami belum selesaikan semuanya”.
Ia lebih berkesan daripada graf dan angka. Ia membina kepercayaan simbolik kerana ia mengakui realiti hidup rakyat tanpa menafikannya. Pengakuan kelemahan bukan tanda kegagalan tetapi tanda kejujuran dan keberpihakan. Naratif juga perlu beralih daripada “apa yang kerajaan buat” kepada “apa yang berubah dalam hidup rakyat”. Daripada menjelaskan kestabilan mata wang sebagai pencapaian teknikal, ia perlu diterjemahkan sebagai perlindungan daripada beban yang lebih berat.
Daripada menyenaraikan jumlah bantuan, ia perlu diceritakan sebagai usaha memastikan rakyat tidak jatuh lebih jauh dalam keadaan yang sukar. Lebih penting, kerajaan perlu mendahului naratif, bukan sekadar bertahan. Selagi bingkai cerita ditentukan oleh lawan, kerajaan akan terus berperang di medan yang tidak memihak kepadanya. Pembongkaran tentang kejahatan halimunan yang bergerak terselindung dalam rimba digital misalnya perlu diceritakan sebagai pembaikan sistem yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat bukan sekadar pematuhan prosedur.
Menjelang PRU 2027, pertarungan sebenar bukan lagi antara dasar yang betul dan salah tetapi antara naratif yang dipercayai dan naratif yang dirasai. Malaysia tidak berada di ambang kegagalan negara. Namun tanpa pembinaan makna yang empatik, konsisten dan manusiawi, kestabilan akan kekal sebagai statistik bukan keyakinan. Dalam politik pasca-realiti, kerajaan jarang tumbang kerana gagal mentadbir. Ia tumbang kerana gagal menjadikan tadbir urus itu bermakna kepada rakyat.

Penulis tampil sebagai pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa, menggabungkan semiotik dan naratif sebagai lensa untuk memahami dan menjelaskan dinamika isu semasa.















