Mujahid Yusof Rawa

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menarik balik tindakan saman terhadap Setiausaha Agung Pas mengenai dakwaan sokongan budaya songsang, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dimuat naik di Facebook parti itu pada Oktober 2022.

Ia susulan permohonan maaf secara terbuka oleh, Datuk Seri Takiyuddin Hassan tanpa pengakuan terhadap apa-apa liabiliti.

Menerusi kenyataan bersama, kedua-duanya sepakat untuk menghentikan pertikaian di antara mereka selepas mempertimbangkan beberapa faktor termasuk kos perundangan yang ditanggung.

“Setelah mempertimbangkan semula kesan daripada tindakan saman fitnah serta kos perundangan yang bakal ditanggung oleh kedua-dua pihak, kami bersetuju untuk menamatkan pertikaian ini secara muktamad memandangkan terdapat lebih banyak isu lebih besar dan penting yang perlu diberikan perhatian demi kepentingan negara,” kata mereka.

Pada 15 Disember 2022, Mujahid selaku Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa Pas selaku defendan dengan niat jahat telah menjatuhkan maruah, mengaibkan dan memfitnahnya dengan membuat atau menerbitkan kenyataan berunsur fitnah di ruangan status akaun Facebook parti itu.

Kemudian, Pas diwakili Takiyuddin membuat permohonan pembatalan saman itu namun ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 22 Jun 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast