KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) diingatkan supaya tidak membelakangkan semangat konsensus dalam setiap keputusan besar gabungan itu susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN.

Menerusi satu kenyataan bersama hari ini, sayap pemuda gabungan itu – Armada Bersatu, Pemuda Gerakan dan Pemuda MIPP menegaskan, sebarang ketetapan yang dibuat atas nama PN wajib melalui proses rundingan dalam Majlis Tertinggi selaras dengan Fasal 13 Perlembagaan gabungan berkenaan.

“Sebarang keputusan atau pendirian atas nama Perikatan Nasional juga bukan hak mutlak mana-mana parti komponen secara unilateral.

“Biarpun semua parti komponen boleh menyatakan pandangan, namun pendirian Perikatan Nasional harus diputuskan secara konsensus bersama semua parti-parti komponen,” kata mereka.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua Armada Bersatu Malaysia, Muhammad Hilman Idham; Ketua Pemuda Nasional Gerakan, Lee Boon Shian dan Ketua Pemuda Kebangsaan MIPP, Justin Prabakaran.

Tambah mereka, Pemuda PN juga menggesa kepimpinan di semua peringkat untuk mengamalkan politik hikmah, bijaksana serta memelihara adab dan etika gabungan.

Langkah tersebut penting bagi merealisasikan agenda lebih besar demi kesejahteraan rakyat dan masa depan Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.

Hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan tersebut berkuat kuasa 1 Januari depan.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang telah memberikan sepenuh sokongan selama beliau memimpin PN sejak penubuhannya lima tahun lalu.

Susulan pengumuman Muhyiddin, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menerusi satu kenyataan pula melahirkan keyakinan parti itu mampu menampilkan calon untuk menerajui PN sebagai Pengerusi baharu.

Katanya, meskipun calon itu tidak semestinya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, namun individu berkenaan diyakini boleh mengembleng kekuatan parti-parti yang ada di bawah PN. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast