BUTTERWORTH – Dua wanita termasuk seorang bawah umur dan seorang lelaki warga Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menjalankan penyeludupan migran membabitkan lima warga Myanmar pada 2 Disember lalu.
Tertuduh, Umi Kalsom Abidin, 29, dan remaja berusia 17 tahun, masing-masing berperanan sebagai transporter itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka di bacakan secara bersama di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Bagaimanapun, pertuduhan terhadap Kyaw Zin Lin, 19, ditangguhkan untuk lantikan jurubahasa susulan dia memaklumkan tidak memahami bahasa Melayu serta Inggeris.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama seorang lagi individu yang masih bebas dengan niat bersama telah menjalankan aktiviti penyeludupan migran melibatkan lima warga Myanmar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di parkir berhadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bukit Mertajam dalam daerah Seberang Perai Tengah, jam 6.40 petang pada 2 Disember lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Siti Nur Amalina Harun, manakala Kyaw Zin Lin diwakili peguam K. Puvirajan.
Ketika prosiding Siti Nur Amalina tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon tarikh baharu bagi kehadiran jurubahasa.
Hakim kemudian tidak membenarkan kesemua mereka diikat jamin selain menetapkan 13 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes termasuk kehadiran jurubahasa Myanmar. – MalaysiaGazette















