NIBONG TEBAL – Mahkamah Majistret Jawi di sini hari ini, membenarkan permohonan reman selama tujuh hari terhadap dua lelaki yang disyaki terbabit dalam serangan berkumpulan bersenjatakan parang sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut, manakala dua lagi cedera di sebuah restoran di Sungai Bakap, semalam.
Majistret Roshayati Radellah membenarkan dua suspek masing-masing berusia 23 dan 36 tahun itu direman sehingga 6 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Masing-masing suspek itu diwakili peguam A. Mahesh.
Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di pekarangan mahkamah jam 1.45 tengah hari dengan berpakaian lokap serta diiringi polis.
Difahamkan, suspek pertama berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pengurus pengawal keselamatan itu ditahan di Taman Merak di sini, jam 9.35 malam semalam manakala suspek kedua ditahan jam 12.40 tengah malam tadi di Taman Cempaka, Batu Kawan.
MalaysiaGazette difahamkan serangan berkumpulan terhadap mangsa maut berusia 59 tahun itu dipercayai berpunca daripada masalah hutang.
Mangsa dikatakan gagal mencapai kata sepakat dalam rundingan pembayaran hutang sebelum diserang sekumpulan individu yang dikenalinya dan bersenjatakan parang.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 42 tahun yang parah dalam kejadian tersebut kini dirawat di Hospital Seberang Jaya, manakala seorang lagi mangsa berusia 31 tahun dibenarkan pulang selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Difahamkan, polis masih memburu saki-baki suspek yang terlibat dalam insiden berkenaan.
Terdahulu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dua suspek tersebut.
MalaysiaGazette semalam melaporkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di sebuah restoran makanan di Sungai Bakap di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa berusia 59 tahun maut dipercayai ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Manakala dua lagi lelaki yang cedera kini sedang menerima rawatan di hospital.
Difahamkan kira-kira 15 lelaki bertopeng menyerang tiga lelaki tempatan tersebut yang sedang makan di premis
Terdahulu, beberapa rakaman video tular di media sosial memaparkan keadaan mangsa yang cedera termasuk seorang daripada mereka dalam keadaan parah, dipercayai akibat serangan menggunakan parang. – MalaysiaGazette















