PERGOLAKAN politik di Perlis menjelang akhir 2025 bukan sekadar isu pertukaran kepimpinan semata-mata.
Ia mencerminkan ujian sebenar terhadap disiplin parti dan perpaduan dalam Perikatan Nasional (PN).
Krisis ini berkembang daripada permasalahan dalaman sebuah parti komponen kepada persoalan yang lebih fundamental: adakah PN benar-benar konsisten dalam menegakkan integriti dan disiplin, atau hanya tegas mengikut kepentingan tertentu sahaja.
Perlis, negeri terkecil dari segi keluasan, mengalami kegawatan politik yang signifikan dalam tempoh singkat.
Kemelut bermula apabila lapan ADUN PN menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar pada waktu itu, Mohd. Shukri Ramli melalui akuan bersumpah (SD).
Pas kemudiannya mengambil langkah drastik dengan menamatkan keahlian tiga ADUNnya walaupun tindakan tersebut berisiko menggugat kestabilan kerajaan negeri.
Situasi mencapai kemuncak apabila Menteri Besar meletak jawatan pada 25 Disember lalu atas alasan kesihatan, diikuti pelantikan Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar pada 28 Disember.
Namun dalam persekitaran politik, masa dan keadaan sering membawa maksud yang lebih mendalam daripada kenyataan rasmi.
Persepsi masyarakat terhadap PN kini sedang dipersoalkan—mampu kah PN menangani krisis dengan berpegang pada prinsip, atau sekadar menyelesaikan masalah secara teknikal.
Walaupun berhadapan dengan cabaran, PN masih mempunyai peluang mempertahankan kepercayaan rakyat, tetapi bukan tanpa syarat.
Salah satu kekuatan PN dalam PRU-15 ialah imej sebagai gabungan yang berprinsip, berintegriti dan memahami kehendak rakyat, terutama golongan muda.
PRU-15 turut menunjukkan pembahagian sokongan mengikut demografi dan kawasan: PN mendapat sokongan kuat generasi muda, manakala PH kekal dominan dalam komuniti bukan Melayu dan kawasan bandar.
Bagaimanapun, PH memenangi kerusi terbanyak dan membentuk kerajaan persekutuan tanpa penyertaan PN.
Hakikat ini mengingatkan bahawa kekuatan PN bukanlah jaminan mutlak untuk menguasai naratif politik negara.
Dalam politik kontemporari, aset paling berharga bagi pembangkang ialah konsistensi, dan pada masa ini PN dianggap mempunyai konsistensi tersebut.
Jenama ini akan terpelihara jika PN menunjukkan ketegasan prinsip secara menyeluruh tanpa pilih kasih.
Dalam konteks ini, tindakan Pas dalam kes Perlis membawa implikasi strategik yang besar.
Pas menghantar mesej disiplin yang jelas: mandat parti dan gabungan bukan hak mutlak individu.
Dari perspektif pengurusan organisasi, kesanggupan mengambil risiko demi disiplin mewujudkan piawaian—terdapat had yang tidak boleh dilanggar.
Sama ada dipersetujui atau tidak, mesejnya terang: kepentingan parti melebihi kepentingan individu.
Piawaian inilah yang membezakan PN daripada politik lama yang dipenuhi dengan tawarmenawar kuasa.
Yang lebih penting, disiplin seperti ini memberi keyakinan kepada pengundi bahawa gabungan tidak dikuasai oleh tindakan sewenang-wenangnya segelintir individu yang boleh menyeret seluruh gabungan ke dalam krisis.
Namun begitu, isu paling merosakkan imej PN bukan krisis Perlis semata-mata, tetapi persepsi dwistandard yang dikaitkan dengan Bersatu.
Presiden Bersatu menegaskan tidak mengarahkan ADUNnya menandatangani akuan bersumpah dan akan mendapatkan penjelasan mengenai situasi sebenar.
Walaupun ada penjelasan rasmi, persoalan di kalangan penyokong gabungan tetap wujud: jika Pas berupaya bertindak tegas dan cepat atas nama disiplin, mengapa Bersatu kelihatan bertangguh, berhati-hati, atau menanti?
Dalam politik persepsi, tindakan lambat sering diterjemahkan sebagai kelemahan kepimpinan, atau lebih teruk lagi, isyarat bahawa disiplin boleh dirundingkan bergantung kepada situasi.
Tambahan pula, pelantikan Menteri Besar baharu daripada Bersatu dalam suasana tegang antara komponen meningkatkan sensitiviti perhubungan dalam PN.
Dalam gabungan politik, ketidakseragaman penegakan disiplin bukanlah perkara kecil—ia berpotensi merosakkan hubungan, mengganggu koordinasi, dan menghakis kepercayaan pengundi.
Jika PN ingin kekal sebagai alternatif yang dipercayai rakyat, gabungan ini tidak boleh membiarkan krisis seperti Perlis berulang tanpa pembaikan.
Rakyat sudah jemu melihat pertembungan kuasa, permainan dalaman, dan pertukaran kepimpinan tanpa penambahbaikan struktur.
Dalam PRU-15, sebahagian pengundi memilih PN kerana mengharapkan kestabilan, ketegasan, dan kecekapan termasuk pengalaman mentadbir semasa krisis seperti pandemik.
Oleh itu, langkah yang diperlukan sekarang bukan kosmetik, tetapi pembetulan nyata terhadap budaya organisasi dan disiplin gabungan.
Pada masa yang sama, naratif lama yang melabelkan negeri di bawah pimpinan Pas sebagai terkebelakang tidak lagi mudah dipertahankan kerana terdapat penunjuk tertentu termasuk rekod pelaburan yang menunjukkan pentadbiran Pas juga mampu memacu pembangunan holistik berasaskan nilai.
Kesimpulannya, episod Perlis adalah peringatan strategik: PN mungkin boleh menang pilihan raya, tetapi boleh kehilangan kepercayaan jika gagal menguruskan integriti dalaman secara konsisten.
Dalam episod ini, Pas telah menunjukkan kesanggupan membayar kos prinsip melalui tindakan disiplin tegas walaupun berisiko.
Justeru, jika PN benar-benar ingin membezakan diri daripada politik oportunis, gabungan ini perlu dipimpin oleh kepimpinan yang paling konsisten dengan prinsip, disiplin dan ketegasan.
Dalam kerangka tersebut, hujah bahawa Pas sewajarnya memimpin PN bukan sekadar slogan, tetapi keperluan strategik: gabungan yang ingin dipercayai mesti dipimpin pihak yang mampu menguatkuasakan standard tanpa pilih kasih, tanpa berlengah, dan tanpa mengorbankan perpaduan gabungan.
Hanya dengan ketegasan berprinsip inilah PN mampu kekal sebagai pilihan serius menjelang PRU-16.
DR. MUKHTARUDDIN MUSA
Ketua Penyelidik (Governans & Polisi), Yayasan Strategik Lestari, dan pemerhati politik semasa.
















