KUALA LUMPUR – Krisis kepimpinan yang melanda Perlis ketika ini meletakkan Pas dalam kedudukan sebagai mangsa kepada percaturan politik rakan sekutunya sendiri iaitu Bersatu.
Pengarah Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan UTM Kuala Lumpur, Prof Madya Dr Mazlan Ali berpendapat, tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu yang bersekongkol dalam gerakan Akuan Bersumpah (SD) bagi menumbangkan Menteri Besar daripada Pas adalah satu bentuk pengkhianatan yang nyata.
“Dalam isu yang terjadi di Perlis ini, pada saya Pas adalah mangsa. Apabila lima ADUN Bersatu bersama tiga ADUN Pas membuat SD menyatakan tidak percaya kepada Menteri Besar, Pas segera bertindak mengikut perlembagaan parti sehingga tiga ADUN mereka lucut keahlian.
“Namun di pihak Bersatu, sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan tatatertib mahupun amaran, maka Pas melihat dalam konteks politik Perlis ini, Bersatu sebenarnya telah menikam Pas,” katanya dalam program bual bicara Skop MG.
Beliau turut mempersoalkan kewajaran Bersatu mengemukakan tiga nama calon Menteri Besar daripada parti itu sedangkan Pas merupakan pemegang kerusi majoriti di Perlis dengan sembilan kerusi.
“Tindakan itu telah mencetuskan persepsi buruk di mata rakyat bahawa Bersatu tidak menghormati mandat dan semangat setiakawan dalam Perikatan Nasional (PN).
“Mengapa Bersatu kemukakan tiga nama daripada partinya?
“Mengapa tidak meletakkan nama daripada Pas? Persepsi politik yang timbul hari ini ialah orang menyatakan bahawa Bersatu telah mengkhianati Pas,” katanya.
Mazlan berkata, kegagalan menguruskan krisis dengan baik dibimbangi akan menyebabkan pengundi yang menyokong PN pada pilihan raya umum sebelum ini merasa kecewa dan tertipu dengan naratif penyatuan ummah yang dibawa selama ini.
“Pertentangan di peringkat kepimpinan tertinggi ini bakal memberi impak besar kepada hubungan akar umbi sekali gus memaksa Pas untuk menilai semula kerjasama mereka dalam PN.
“Kemungkinan besar jika tidak dapat dibendung, Pas akan bergerak secara sendirian atau menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) dengan cara mereka sendiri.
“Pas tahu, tanpa Bersatu pun mereka masih kuat di negeri utara dan Pantai Timur,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, perpecahan akan memberi tamparan hebat buat Bersatu yang selama ini amat bergantung kepada kekuatan jentera Pas untuk memenangi pilihan raya.
“Tanpa jentera Pas, Bersatu akan menghadapi kesukaran amat besar untuk mempertahankan kerusi mereka. Peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin usaha untuk memberi oksigen baharu, tetapi jika Pas sudah mula menutup pintu sedikit demi sedikit, ruang itu akan tertutup rapat buat Bersatu,” ujarnya. – MalaysiaGazette















