Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berharap semoga permuafakatan dan kebersamaan dalam kalangan rakan seperjuangan politik terus diperkukuh.

Selain itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah berkenaan turut berharap semoga kepentingan rakyat dan negara sentiasa didahulukan dalam setiap keputusan dan tindakan.

Beliau turut berharap semoga rakan-rakan politik di dalam PN kekal berjiwa besar, berpandangan jauh, serta matang dalam menghadapi segala cabaran mendatang.

Katanya, ia supaya dapat terus berperanan sebagai semak dan imbang yang berkesan demi kestabilan dan kebaikan negara.

“Semoga negara ini terus dipandu oleh dasar dan pendekatan yang berwawasan serta berkeutamaan, berteraskan kepentingan rakyat, menjamin keadilan sosial, dan merapatkan jurang ekonomi antara wilayah tanpa mengira perbezaan kaum mahupun fahaman politik,” katanya dalam ucapan sempena tahun baru 2026 di laman sosial Facebook beliau hari ini.

PN ketika ini berada disifatkan berada dalam situasi retak menanti belah susulan pergeseran dalam kalangan pemimpin Pas dan Bersatu.

Kemelut politik yang bermula susulan krisis di Perlis itu merebak sehingga menyaksikan beberapa pemimpin utama Bersatu meletakkan jawatan di dalam PN termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melepaskan jawatan Pengerusi PN.

Turut berbuat demikian ialah lima Pengerusi PN Negeri daripada Bersatu iaitu di Selangor; Johor; Negeri Sembilan; Perak dan Sarawak.

Bagaimanapun, tiga Pengerusi PN Negeri daripada Bersatu iaitu Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Melaka) dan Datuk Dr Radzi Jidin (Wilayah Persekutuan), termasuk Ronald sendiri masih kekal dengan jawatan masing-masing. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast