KUALA LUMPUR – Stesen minyak lengkap dengan restoran makanan segera dua tingkat di Dengkil, Selangor yang dijayakan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) sudah mula beroperasi pada 29 Disember lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Anuar Hamzah Tohar berkata, projek pembangunan hartanah wakaf berimpak tinggi itu dilaksanakan di atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) itu terletak di Lot PT 69581, HSM 28476, Mukim Dengkil, Daerah Sepang.
Katanya, stesen minyak dengan kerjasama rakan perniagaan PETRON Malaysia yang beroperasi di Sungai Merab ini dibangunkan menggunakan konsep Dealer-Owned Dealer-Operated (DODO).
Ini menurut beliau, bagi memastikan pengurusan operasi yang mampan serta pulangan optimum kepada wakaf.
“Alhamdulillah, projek ini secara keseluruhan berjumlah RM9 Juta untuk bangunan, infrastruktur, perunding dan lain lain lagi.
“Kos ini digunakan sepenuhnya dana wakaf tunai orang ramai. Menariknya manfaat bagi projek ini akan diserahkan semula kepada Masjid Sg. Ramal Luar sebanyak 50 peratus seperti yang diniatkan oleh pewakaf tanah sebelum ini.’
“InsyaALLAH menjadi salah satu aset wakaf strategik yang mampu menjana pendapatan berterusan, menyediakan peluang pekerjaan serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Anuar, keberhasilan projek tersebut menunjukkan bahawa PWS sangat menitikberatkan pembangunan tanah-tanah wakaf di dalam Negeri Selangor.
Perbadanan itu juga katanya, komited untuk terus memperkasa pembangunan wakaf secara bersepadu dan progresif demi memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat dan pembangunan sosioekonomi umat Islam di Negeri Selangor.
“Saya juga hendak menyatakan, bahawa projek ini pertama di Selangor serta tidak keterlaluan juga pertama di Malaysia yang dibangunkan di atas tanah wakaf serta pengurusan dan perniagaan stesen minyak ini dikendalikan oleh WS Energy 1 Sdn. Bhd. (WSE1), anak syarikat milik penuh PWS yang ditubuhkan khusus bagi menguruskan projek-projek pembangunan wakaf berimpak tinggi,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, PWS menyeru semua masyarakat khususnya di Selangor untuk bersama melazimi Ibadah Wakaf yang merupakan satu amalan yang dituntut dan menjamin ganjaran pahala yang berterusan. -MalaysiaGazette
















