Steven Sim bertemu dengan bapa, Alexis Liang Xi Yue serta menyampaikan sumbangannya.

BUKIT MERTAJAM – Keprihatinan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, terhadap nasib seorang bayi pramatang warga Malaysia yang dirawat di Jepun mendorong beliau tampil menggerakkan bantuan awal, termasuk menyumbangkan RM50,000 bagi menampung kos rawatan yang dianggarkan mencecah RM1.5 juta.

Jelasnya, keadaan bayi Alexis Liang Xi Yue, yang lemah, namun terus berjuang untuk hidup, mendorong beliau mengambil inisiatif awal bagi memastikan keluarga berkenaan tidak berdepan tekanan kewangan bersendirian.

“Selepas membaca kisah Alexis, saya terus menghubungi One Hope Charity untuk melihat bagaimana bantuan segera boleh disalurkan.

“Ini bukan soal politik, tetapi soal kemanusiaan dan nyawa seorang bayi,” katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada ayah Alexis, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Anak pasangan Malaysia bergelut di NICU Jepun perlu RM1.5 juta

Tambah beliau, sumbangan RM50,000 itu adalah bantuan permulaan bagi meringankan beban ibu bapa muda berkenaan yang kini berdepan kos rawatan tinggi di luar negara.

“Anggaran kos rawatan sekitar RM1.5 juta adalah jumlah yang amat besar. Saya sedar sumbangan ini tidak mencukupi, tetapi saya berharap ia dapat menjadi pemangkin kepada bantuan lain.

“Saya juga dimaklumkan One Hope Charity telah menaja penerbangan ibu Alexis ke Jepun supaya bayi itu dapat menerima kehadiran ibunya serta bekalan susu ibu sepanjang tempoh rawatan.

“Kehadiran ibu amat penting untuk bayi pramatang, sama ada dari segi emosi mahupun kesihatan. Ini antara usaha yang kami cuba realisasikan segera,” katanya.

Sumbangan RM50,000 itu adalah bantuan permulaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai, khususnya individu dan pihak yang berkemampuan, supaya bersama-sama menghulurkan bantuan bagi memastikan Alexis terus mendapat rawatan terbaik sehingga dibenarkan pulang ke tanah air.

“Setiap sumbangan, walau kecil, boleh menjadi harapan besar buat seorang bayi yang sedang berjuang untuk hidup.

“Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan dana ke akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (No. Akaun: 3201428817) atau melalui laman web www.onehopecharity.org,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast